PRK Kulim-Bandar Baru: SPR Belum Terima Notis Aziz Muflis


Shah Alam, 17 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai kedudukan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Dato’ Abdul Aziz Sheikh Fadzil mengenai notis pengisytiharan muflis terhadapnya dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sekiranya laporan mengenai laporan pengisytiharan muflis terhadap ahli parlimen itu benar, maka mengikut undang-undang Abdul Aziz akan kehilangan kelayakan menjadi wakil rakyat di kawasan parlimen tersebut.

“Namun, pada masa ini SPR belum menerima maklumat rasmi mengenai kedudukan Abdul Aziz.

“SPR perlu menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat sebelum apa-apa keputusan mengenai kekosongan kerusi parlimen itu,” katanya kepada media,semalam.

Sebelum ini, KedahNews.com ada menyiarkan laporan khabar angin yang bertiup kencang mengenai pengisytiharan muflis terhadap Abdul Aziz yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Baru setelah dia gagal menjelaskan beberapa hutang yang tertunggak kepada pihak bank.

Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan kesahihan notis itu dan mengakui wujud tunggakan pembayaran oleh sebuah syarikat milik keluarganya tetapi menegaskan pihaknya telah menghubungi pihak bank bagi membincangkan mengenai penyelesaian tunggakan tersebut.

Sekiranya benar Abdul Aziz diisytihar muflis, satu Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kulim Bandar Baru akan berlaku. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor