Khabar Angin PRK Kuala Terengganu Tidak Benar


Kuala Terengganu, 11 Jun – Ahli Parlimen Kuala Terengganu,  Dato’ Raja Kamarul Bahrin menafikan laporan bahawa dirinya telah diisytihar muflis.

Semalam berita mengenai dirinya yang telah diisytihar muflis tersebar luas di laman-laman sosial yang mengatakan Raja Kamarul yang merupakan ahli Pas itu akan hilang kuasa  sebagai ahli parlimen sekaligus akan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan tersebut.

Raja Kamarul berkata ketika dihubungi pihak media semalam bahawa laporan yang tersebar itu adalah satu fitnah kerana sehingga kini dia tidak menerima apa-apa notis daripada pihak bank mengenai pengistiharan muflis.

"Saya tidak terlibat dalam mana-mana kes mahkamah baru-baru ini, dan tidak menerima sebarang surat daripada bank, jadi saya tidak tahu bagaimana untuk memberi respon terhadap khabar angin ini.

"Lagipun, proses untuk mengisytiharkan seseorang itu muflis boleh memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana adanya kesimpulan di mana tak ada apa-apa pun yang berlaku," katanya.
Menurut Raja Kamarul lagi, dia telah menjalankan pemeriksaan  dengan menghubungi timbalan pendakwa raya di sebuah mahkamah bagi mendapat kepastian berhubung isu berkenaan semalam dan pihak berkenaan mengesahkan tiada kes yang difailkan  terhadapnya.

Hari ini satu sidang media khas di Parlimen akan diadakan bagi menjelaskan isu yang berlaku. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor