Bermula pada 1 Jun ini, pada sesiapa yang bermalam di mana-mana hotel di dalam kawasan jajahan Negeri Pulau Pinang, jangan terkejut sekiranya bil anda dicaj lebih RM3 memandangkan ia adalah arahan seorang Ketua Menteri "berjiwa rakyat".
Para penyewa gerai milik Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang majoritinya berbangsa Melayu juga sebelum ini pernah "tersenyum bersorak riang" apabila kerajaan "berjiwa rakyat" meluluskan kenaikan sewa gerai mereka hingga mencecah 100 peratus.
Memetik laporan UtaraNews.com, kesan dari kenaikan sewa itu dijangka menyebabkan seramai 700 peniaga yang rata-ratanya Melayu bakal "gulung tikar" dan terpaksa "melutut" pada Ketua Menteri "berjiwa rakyat" untuk mengkaji semula "jiwa"nya.
Berita terkini dari negeri "hak milik penuh DAP" itu menjelaskan bahawa cukai kerusi dan meja pula akan dinaikkan melebihi 100 peratus, dari sebelum ini dikenakan bayaran sebanyak RM20 bagi sebuah meja dan 4 buah kerusi, ia dinaikkan hingga menjadi RM50 "sahaja".
Menurut sumber, pihak MPSP telah mengesahkan mengenai kenaikan cukai meja dan kerusi itu namun tarikh penguatkuasaannya masih tidak dapat dipastikan.
Bagaimanapun desas-desus mengatakan berkemungkinan polisi kerajaan negeri "berjiwa rakyat" itu akan dilaksanakan pada September ini bersesuaian dengan jangkaan kenaikan sewa gerai sebanyak 100 peratus itu.
Mungkin selepas ini kita agak sukar untuk menikmati pasembor atau laksa Penang di Pulau Mutiara itu akibat "kepupusan" gerai-gerai orang Melayu serta "kehilangan" meja dan kerusi di gerai-gerai yang menunggu masa untuk "dibungkus".
Mungkin juga selepas ini kita terpaksa "tapau" sahaja pasembor yang dijual secara "car boot sale" ekoran tidak mampu membayar cukai dan sewa yang tinggi kepada kerajaan "berjiwa rakyat" di Pulau Pinang.
Mungkin selepas ini restoran-restoran "menu rakyat" yang dipromosikan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, akan mengambil tempat mengisi kekosongan yang ditinggalkan gerai-gerai orang Melayu dan Mamu di Pulau Pinang.
Namun tak payah risau, Teresa Kok meskipun menyedari "menu rakyat"nya tidak mendapat status halal dari Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim), mungkin dia yakin makanan yang disediakan golongan Tiong Hua berkonsepkan "vege" itu "halal" dimakan umat Islam, khususnya para penyokong PAS.
Apapun, jutaan "tahniah" diucapkan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang, khususnya golongan bumiputera Melayu, Mamu, Nana dan Mami yang begitu "gembira" berada di bawah payung naungan sebuah kerajaan "berjiwa rakyat".
Tahniah dari kami, KedahNews.com! -KedahNews.com