Rampasan Bible: Khalid Salahkan UMNO Lagi

Ahli Parlimen Shah Alam (PAS), Khalid Samad menuduh UMNO menjadi dalang utama di sebalik tindakan rampasan kontroversi kitab Bible bahasa Melayu dan Iban yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Januari lalu.

Khalid mendakwa bahawa  JAIS langsung tidak punya sebarang kaitan dengan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor, sebaliknya cuba menyalahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, yang didakwa seorang "ahli UMNO".

"Umno yang sudah hilang kuasanya kepada kerajaan negeri mahu mengembalikan pengaruh mereka menerusi pintu belakang menggunakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

"Ketua Pengarah Mais dilantik Istana dan Datuk Mohamad Adzib merupakan ahli UMNO," katanya pada satu majlis di Pulau Pinang sebagaimana yang dipetik dari laman The Malaysian Insider.

JAIS merupakan sebuah jabatan di bawah MAIS. Manakala MAIS pula merupakan pihak yang berada di bawah bidang kuasa DYMM Sultan Selangor yang memiliki kuasa penuh untuk melantik Pengerusi dan jawatan-jawatan utama majlis agama Islam itu.

Bagaimanapun, Khalid dilaporkan langsung tidak menyebut nama DYMM Sultan Selangor dalam kenyataan yang menuduh UMNO sebagai dalang itu meskipun parti politik itu langsung tidak punya kuasa untuk campur tangan dalam kuasa kerajaan negeri mahupun keputusan Istana.

Pada 2 Januari lalu, Jais merampas 321 kitab Bible bahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan baru-baru ini menyerbu majlis perkahwinan pengantin Zarina Abdullah Majid di kuil Hindu kerana status agamanya.

Meskipun Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail, telah mengeluarkan arahan supaya menutup kes yang mencetus kontroversi agama itu, MAIS dan JAIS bagaimanapun masih enggan mematuhi arahan tersebut.

Ekoran itu, Sultan Selangor bertitah supaya JAIS merujuk hal pemulangan kitab Bible tersebut pada pihak pendakwaraya dan mahkamah supaya dapat ditentukan sama ada ia dapat diputuskan untuk dikembalikan atau sebaliknya.

Khalid yang juga merupakan bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor turut mendakwa MAIK sebagai pihak yang bertanggungjawab mengarahkan rampasan kitab Bible tersebut serta serbuan ke atas perkahwinan Zarina.

Ahli Parlimen Shah Alam itu nekad berjanji akan berusaha sedaya upayanya untuk memastikan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor agar tidak memberi kuasa eksekutif ‎kepada MAIS untuk memberi arahan pada JAIS pada masa akan datang.

"Terdapat motif politik di sebalik tindakan tersebut. Mereka mahu rakyat Selangor memikirkan ia tidak akan berlaku sekiranya ditadbir Barisan Nasional, dan ia merupakan salah PAS.

"Tetapi apabila PAS dan Menteri Besar mengarah JAIS supaya memulangkan kitab Bible, jabatan itu akan menolak. Ia seperti bersembunyi di sebalik Istana melalui MAIS," kata Khalid menuduh MAIS lagi. -KedahNews.com