Remaja Maut Dibelasah Warga Emas


Shah Alam, 17 Jun – Seorang remaja mati apabila di belasah oleh seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dengan menggunakan sebatang besi dalam kejadian yang berlaku di Bestari Jaya, Kuala Selangor semalam.

Mangsa yang mati dipercayai mengalami pendarahan yang serius dibahagian peha kanan akibat dipukul dengan besi oleh lelaki tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Dato’ Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 10.40 malam kejadian dan memaklumkan mangsa telah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

"Susulan kejadian itu, pihak kami berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun awal pagi tadi dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan tersebut," katanya.

Pihak polis turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul remaja tersebut.

Suspek yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalah membunuh dan jika sabit kesalahan dia boleh dihukum gantung.

Sementara itu, Mohd Adnan ketika bercakap kepada pemberita mengenai kes berkenaan selepas majlis serah tugas Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor petang semalam. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor