Seremban – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menempatkan remaja
orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, di institusi
kanak-kanak JKM melalui perintah sementara daripada mahkamah sebaik dia
sihat dan pulih serta dibenarkan keluar Hospital Tuanku Jaafar Seremban
(HTJS).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani
Abdul Karim berkata langkah ini bagi memastikan dia dijaga dengan baik,
diberi perlindungan dan juga pemulihan.
“Sebagai seorang OKU, kita akan memberikan segala bantuan dan
kemudahan yang diperlukannya. Dia akan kita tempatkan di institusi kami
yang bersesuaian dengan keadaannya.
“Kami juga akan memberikan kaunseling sebab emosinya belum lagi
stabil,” katanya kepada pemberita selepas melawat Muhammad Firdaus di
HTJS di sini, hari ini.
Muhammad Firdaus ditemui dalam keadaan kurus kering dalam bilik yang
kotor dan dipenuhi najis oleh anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan
dalam operasi bersepadu 6P di rumah pangsa Taman Semarak, Nilai, Sabtu
lalu selepas melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.
Rohani berkata selain itu, JKM juga akan menjejaki waris remaja OKU itu, selain daripada ibunya.
“Ini disebabkan, walaupun dia akan berada dalam institusi kami, saya
tidak mahu hubungan kekeluargaan terputus. Keluarga mesti bersama-sama
bertanggungjawab untuk memastikan Muhammad Firdaus mendapat sepenuh
kasih sayang,” katanya.
Ditanya berapa lama Muhammad Firdaus akan berada di hospital, beliau
berkata melihat daripada keadaannya, dia dijangka dibenarkan keluar
daripada hospital dalam tempoh sebulan atau lebih.
Katanya Muhammad Firdaus kini didapati bertambah sihat dan selera makannya pun bertambah.
“Dalam masa tiga hari, berat badannya telah bertambah dua kilogram.
Dia memberi tindak balas yang baik terhadap segala rawatan yang
diberikan kepadanya.
Dia nampak gembira dan hendak makan sahaja, yang penting dia
bertambah kuat, malah dia bangun sendiri. Sebagai OKU ‘cerebral palsy’
keadaan ini adalah normal,” katanya.
Beliau yakin remaja yang ditemui dalam keadaan menyedihkan Sabtu lalu akan pulih dengan lebih cepat.
Sementara itu, Rohani mengesahkan bapa Muhammad Firdaus iaitu Dullah
Sibil, sudah meninggal dunia ketika berumur 51 tahun di Sabah pada 22
Jan 2012.
Mengenai ibu Muhammad Firdaus, Rohani berkata ibunya masih ditahan
reman polis dan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kanak-Kanak 2001. –
BERNAMA