Remaja OKU Terbiar: Wardina Betul, Jangan Salahkan "Imashima Lola"

Pelakon dan pengacara terkenal, Wardina Saffiyah seolah-olah menyalahkan pihak kerajaan yang disifatkan sebagai kurang mengambil berat dengan tidak memberi bantuan sewajarnya kepada golongan orang kelainan upaya (OKU).

Mengambil contoh isu Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah pangsa di Taman Semarak, Nilai, Wardina membandingkan pendekatan Kerajaan Australia yang diketahui umum sebagai bukan sebuah negara Islam.

"Di Australia, ibu bapa kepada anak OKU akan diberi pelbagai keistimewaan seperti elaun bulanan yang tinggi. Malah kawan saya mempunyai anak OKU kedua dua suami dan isteri tidak perlu bekerja kerana disuruh kerajaan untuk fokus menjaga anaknya yang OKU," katanya yang dipetik dari laman sosial Facebook miliknya.

Menurut Wardina lagi, golongan ibubapa di Malaysia pula terpaksa memikul "beban" membesarkan anak OKU mereka tanpa pertolongan dari mana-mana pihak dan sokongan dari pihak yang sewajarnya.

"Ya, itu negara kafir. Anak anak istimewa & OKU kita pula? Di mana nilai kita? Terpaksa ibu bapa memikul beban tanpa pertolongan dan sistem sokongan yang padu dari mereka yang sepatutnya. Saya cuma berkongsi realiti, terimalah," katanya lagi.

KedahNews.com yakin, ramai pihak secara asasnya bersetuju dengan pandangan Wardina yang menuding jari pada kerajaan dan membandingkan pendekatan dasar antara Malaysia dengan Australia tersebut.

Melakukan pendekatan memberi elaun kepada kedua ibubapa dan melarang mereka bekerja bagi memberi perhatian kepada anak OKU mereka sebagaimana di Australia, pihak Kerajaan Malaysia sepatutnya bertindak lebih dari itu memandangkan negara ini merupakan sebuah negara Islam.

Mungkin Lembaga Zakat boleh menyalurkan dana yang lebih kepada ibubapa yang memiliki anak OKU beragama Islam dan bagi yang bukan beragama Islam boleh mendapatkan bantuan dari badan-badan agama masing-masing.

Selain Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak berkuasa juga mungkin perlu memantau perkembangan harian anak-anak OKU itu agar tidak dianiaya ibubapa, saudara mara, jiran-jiran dan masyarakat sekitar.

Jika perlu, mungkin Kerajaan Malaysia perlu berbelanja lebih dengan meletakkan kamera CCTV di rumah dan bilik anak-anak OKU di seluruh negara bagi memantau mereka secara terperinci pada setiap masa.

Dalam perkembangan berkaitan, "Imashima Lola" yang didakwa ibu kepada Muhammad Firdaus mungkin tidak wajar disalahkan sama sekali kerana apa yang berlaku pada anaknya yang kurus kering dikurung itu sebenarnya merupakan "salah kerajaan".

Pendek kata, apa saja yang negatif dan berlaku di negara ini mungkin "semuanya salah kerajaan" semata-mata dan bukan salah "Imashima Lola" atau ibubapa yang bertindak tidak wajar pada anak-anak OKU mereka.

Peliknya, mengapa pula ramai rakyat Malaysia yang mengecam dan mengutuk ibu Muhammad Firdaus baru-baru ini di Facebook? Mungkinkah rakyat yang mengutuk "Imashima Lola" itu memiliki pemikiran yang tidak wajar, tidak sebagaimana pemikiran Wardina yang "sangat bernas"?

Apa pula pandangan anda?