Dengan seorang Ahli Parlimen sudah dijanjikan kerusi di dalam kabinet selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, sudah hampir pasti rombakan kabinet semakin hampir.
Laman portal Agenda Daily memetik sumber dari Putrajaya yang berkata
rombakan berkenaan akan dilakukan sebelum akhir bulan ini yang dijangka
akan menyaksikan dua menteri baharu dilantik.
Berdasarkan sumber itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang meneliti butiran lebih terperinci mengenai perubahan itu yang pastinya akan melibatkan Presiden MCA dan Gerakan.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Datuk
Mah Siew Keong yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan akan
diberikan kerusi dalam Kabinet.
Ia berikutan sambutan yang begitu baik diterima Najib sewaktu
di China, dan potensi yang luas bagi perdagangan antara Malaysia dan
China yang melihat ada keperluan untuk mewujudkan perwakilan Cina dalam
Kabinet.
Najib yang juga Presiden UMNO dijangka akan mengisikan tiga
jawatan timbalan menteri ‘yang masih kosong’ sejak pilihan raya umum
lalu.
Jawatan berkenaan adalah Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan dan Jabatan Perdana Menteri.
Menurut sumber Putrajaya yang sama mencadangkan bahawa seramai tiga
menteri yang sedang berkhidmat ketika ini, dua daripada mereka adalah
senior, mungkin terjejas di dalam rombakan itu.
Menteri tersebut dari UMNO tetapi sebarang rombakan yang melibatkan mereka tidak akan menjejaskan kuota UMNO dalam Kabinet.
Walau bagaimanapun sukar untuk meramal keputusan Perdana Menteri.
Namun menurut sumber, Najib mungkin akan bertindak balas
terhadap rasa tidak puas hati di kalangan ahli UMNO mengenai beberapa
menteri ini.
Najib tidak mungkin akan mengembangkan lagi jumlah kerusi Kabinet untuk menampung permintaan bagi jawatan-jawatan itu.
Kabinet sekarang ini sudah mencukupi dengan 32 menteri dan 26 timbalan menteri.
Sehubungan itu, media ketika ini akan memantau rapi pergerakan Najib
yang dilihat bila-bila masa sahaja akan menghadap Yang di-Pertuan Agong
bagi mendapat perkenan Baginda sebelum beliau meneruskan dengan rombakan
Kabinet.
Sumber Putrajaya percaya bahawa rombakan itu akan dibuat pada bulan
ini untuk memberi masa kepada menteri-menteri baharu masa untuk
mempelajari dan memahami tugasnya, yang biasanya selama enam bulan
sebagai tempoh dijadikan penanda aras.
Sumber: MYNEWSHUB.MY