Rosmah Takkan Sesekali Tunduk Pada Fitnah

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau sedih dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya, namun akan tetap meneruskan kerja-kerja amal, sekalipun ia kerap kali diputarbelitkan pihak tidak bertanggungjawab.

Rosmah berkata, beliau juga akan sentiasa bersama Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertemu rakyat di pelbagai peringkat.

“Walaupun sedih kerang sering kali dilemparkan dengan pelbagai tohmahan, fitnah dan tuduhan yang tidak berasas sama sekali, namun saya tidak sesekali melatah mahupun berputus asa ataupun tunduk dengan kata-kata mereka,” kata Rosmah ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Nadi Negara 2013 Wanita Umno dan pelancaran alumni Nadi Negara Wanita Umno di sini hari ini.

Dalam ucapan tersebut, beliau menasihatkan golongan mahasiswa supaya memproses maklumat yang diperoleh di alam maya dengan bijak dan tidak hanya mempercayainya tanpa membuat semakan dan kajian.

Rosmah berkata, dalam pelajaran di universiti, mahasiswa dididik untuk berfikir secara kritis dan rasional selain tidak hanya menggunakan pemikiran logik tetapi membuat semakan untuk memastikan kesahihan sesuatu maklumat.

“Saya berharap agar kaedah tersebut tidak hanya digunakan di peringkat universiti sahaja tetapi diaplikasikan dalam proses pencarian ilmu di Internet mahupun ketika membaca bahan-bahan di media sosial serta laman web.

“Jika bertindak melulu dan membantu menabur fitnah merata-rata, harus ingat perbuatan tersebut akan membinasakan masa depan anda sendiri dan memperjudikan negara kita kelak,” katanya.

Tambah beliau, masyarakat tidak boleh menyalahkan segelintir kecil mahasiswa yang bertindak mengikut perasaan dan secara terburu-buru tanpa memahami keadaan sebenar.

“Ini mungkin kerana mereka (mahasiswa) tidak mendapat gambaran sebenar mengenai usaha dan peranan kerajaan dalam membangunkan negara,” jelas Rosmah.

Beliau turut menasihatkan mahasiswa supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pembangkang mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Saya dengar golongan pelajar kini tidak membaca surat khabar (arus perdana) kerana mendakwa surat khabar berat sebelah. Baca. Kita kena tahu benda yang betul (melalui media arus perdana),” katanya.

Turut hadir Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan lebih 1,000 mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

Pada majlis itu, Rosmah menyampaikan Anugerah Khas Nadi Negara 2013 kepada Noor Liyana Nouxman dari University of Auckland, New Zealand dan Mohd Hafiz Ariffin dari Universiti Tun Hussein Onn.

Turut menerima Anugerah Nadi Negara 2013 ialah 35 mahasiswa dan mahasiswi lain dari pelbagai institusi awam dan swasta.

Anugerah tahunan ini diperkenalkan pada 2009 sebagai aspirasi kepada para graduan untuk menjadi pemimpin berketerampilan pada masa akan datang.

– BERNAMA