Rupanya Di Zaman UMNO/BN Pun Dibina Maahad Tahfiz Juga... @MukhrizMahathir @DSJamilKhir

SUNGAI PETANI – Fasa pertama pembinaan sekolah menengah agama dikenali Maahad Tahfiz Profesional (MTP) di Bukit Telor Ayer, Mukim Simpor dengan kos bernilai RM700,000 sedang diusahakan.

Bangunan dua tingkat itu bakal dijadikan ruang pembelajaran pelajar dijangka siap November ini, sementara menumpang di bangunan Masjid Sultan Muzaffar Shah.

Pengerusi Lembaga Pentadbir MTP, Abdullah Mahmud berkata, pembinaan fasa pertama dimulakan sebaik sahaja majlis pecah tanah berlangsung 11 Jun lalu di tapak pembinaan MTP.

“MTP yang diasaskan oleh Yayasan Profesional Ummah Kedah (YPUK) mula melakukan pengambilan pelajar tingkatan satu pada Januari 2014.

"Ahli Lembaga Pentadbir yang terdiri daripada golongan profesional dan pakar dalam bidang masing-masing bergabung untuk menubuhkan MTP dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu tetapi turut mendalami bidang agama dengan baik,” katanya.

Menurutnya, walaupun pada masa ini terdapat banyak maahad tahfiz di Malaysia, MTP diwujudkan dengan satu kelainan.

“Ini kerana MTP menawarkan pembelajaran dalam bidang akademik, agama dan hafazan sekali gus, serta mengadakan aktiviti kokurikulum yang boleh membentuk pekerti mulia dalam kalangan pelajar,” katanya.

Mahu pelajar kuasai dunia, akhirat

Sistem pembelajaran MTP mengikuti sukatan pelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia bagi tingkatan satu hingga lima, dalam masa sama mementingkan ilmu tahfiz dan agama.

MTP juga menjalinkan kerjasama dengan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab) untuk pensijilan yang diiktiraf Kerajaan Malaysia melalui Hafazan, Tajwid dan Tarikh Mashaf.

Sementara itu, katanya, Pendidikan Diniyah/Agama menggunakan sukatan pelajaran Azhari (Bahasa Arab) melalui Tafsir al-Quran, Pengajian Hadith, Pengajian Tauhid dan Pengajian Fekah.

“Kita bercadang membuat pengambilan pelajar perempuan (kini lelaki sahaja) pada Januari 2016, selain memulakan Program Pengajian Antarabangsa tidak lama lagi,” katanya.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pentadbir, Mohamad Suharni Mohd Sohod berkata, objektif penubuhan MTP diharapkan mampu melahirkan pelajar yang menguasai ilmu dunia dan akhirat, di samping menyediakan laluan kukuh supaya pelajar berdikari selepas tamat belajar.

“Kita menekankan bidang akademik, dalam masa sama turut mendalami ilmu agama, sehingga mampu melahirkan hafiz dan hafizah yang cemerlang bukan sahaja dalam kerjaya malah sahsiah dan budi pekerti,” katanya.

Menurutnya, penubuhan MTP fasa pertama akan dijadikan tempat pembelajaran dan diikuti fasa kedua pembinaan blok bangunan pendidikan, bangunan makmal biologi, fizik, kemahiran hidup, surau dan kuaters guru.

Kelayakan pemohon mestilah mendapat 3A 2B (minima) dalam peperiksaan Ujian Pencapaian  Sekolah Rendah dan lulus ujian kemasukan MTP.

Permohonan boleh dibuat melalui www.yayasanummah.org.

Kombinasi mantap, akademik dan agama

Imam Masjid Sultan Muzafar Shah, Wan Alaudin Abd Rahman berkata, pembinaan MTP ialah satu kombinasi yang baik dalam bidang profesional dan tahfiz.

“Apabila digabungkan kedua-dua bidang, pembelajarannya jadi lebih mantap dan setiap tindakan yang dilakukan sudah pasti terkawal sekiranya seseorang pelajar mempunyai nilai jati diri dan didikan agama yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Lembaga Pentadbir, Datuk Abd Halip Harun berkata, pihaknya berterima kasih kepada Yayasan Nur Karangkraf kerana telah menyumbang keperluan komputer bagi kegunaan pelajar pada peringkat permulaan.

“Kita juga mengalu-alukan sumbangan, wakaf atau derma dari mana-mana badan korporat, individu mahupun badan bukan kerajaan demi pembangunan MTP,” katanya. -Sinar Harian