Saman MKini: Majlis Peguam Teruk Dibidas

Majlis Peguam yang mempertikai tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menyaman laman portal Malaysiakini disifatkan cuba mengambil alih kuasa hakim mahkamah dan mendahului sistem kehakiman negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Majlis Peguam tidak sewajarnya membuat kenyataan mengenai saman tersebut sebelum diteliti badan kehakiman lebih berhak menentukan sistem keadilan di Malaysia.

Beliau berkata, Majlis Peguam sepatutnya mendengar terlebih dahulu kes berkenaan sebelum melatah dan bertindak seperti hakim dengan menjatuhkan hukuman .

"Dengarkan kes, jangan buat penghakiman sekarang, lihat secara mendalam terlebih dahulu fakta dan hujahan," katanya dalam satu majlis yangberlangsung di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

Selain itu, Shafie menegaskan bahawa seseorang itu berhak melindungi diri dari sebarang fitnah atau tohmahan yang dilemparkan terhadapnya, tidak terkecuali Najib meskipun beliau berjawatan Perdana Menteri Malaysia.

Menurutnya lagi, sebagai pengamal undang-undang dan khidmat guaman, Majlis Peguam sepatutnya melindungi konsep keadilan bagi setiap warganegara di negara ini, memelihara hak dan tidak bersikap "berat sebelah".

"Apabila Perdana Menteri dan Kerajaan nak saman, mereka (Majlis Peguam) kata mesti menghormati hak.

"Dari segi hak, Perdana Menteri juga ada hak untuk melindungi diri dan kerajaan supaya jangan difitnah dan ditohmah melulu.

"Mereka pengamal undang-undang, bukan melindungi hak satu pihak, harus melihat hak yang lain," tegasnya membidas Majlis Peguam yang dilihat sering menyokong isu yang dipelopori pihak pembangkang, khususnya isu murtad dan LGBT sebelum ini.

Pada 30 Mei, Najib selaku Presiden UMNO dan Setiausaha Kerja UMNO, Dato' Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua pengarang dan ketua editor laman web portal Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel bulan lepas.

Najib dan Ab Rauf bagi pihak UMNO, menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang Steven Gan dan Ketua Editor Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga. -KedahNews.com