Alhamdulillah, kita umat Islam telah dipanjangkan umur dan berjaya bertemu sekali lagi dengan bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan Al-Mubarak, dan bersama-sama menjalani ibadah yang menjadi rukun Islam ini selama sebulan penuh. Tahniah untuk semua.
Sejak kecil lagi, kita diberitahu bahawa di bulan Ramadhan ini, umat Islam akan menahan diri dari makan dan minum pada siang hari bermula azan subuh hinggalah ke azan maghrib. Maka kita semasa kecil berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi syarat puasa tersebut.
Ada yang tidak tahan, hanya berpuasa hingga jam 10 pagi sahaja. Terdengar bunyi loceng rehat di sekolah, kita ke kantin. Bila kembali ke kelas, kita "berpuasa" semula. Kalau dahaga pun, mungkin ada yang curi-curi minum dari paip di sinki tandas. Itu pun terpaksa dilakukan secara tersembunyi.
"Malu kalau orang nampak.." mungkin itu bisik hati kita dahulu...
Ada pula yang bertahan hingga setengah hari, pulang saja dari sekolah, terus merengek tunjuk "muka 10 sen" pada ibu, minta dikasihani. Lauk sahur semalam pun "boleh" asalkan perut kita kenyang dan tidak berteriak lagi minta diisi...
Namun, ramai juga yang mampu bertahan hingga ke azan maghrib dan berbuka bersama keluarga. Ada yang cukup sebulan berpuasa, 15 hari, 10 hari atau sekadar 3-4 hari sahaja. Bila tiba Aidilfitri, ada yang menerima RM30, RM15, RM10 atau hanya berpuas hati dengan RM3-RM4 sahaja...
Bila dewasa, sudah belajar pengertian puasa sebenar, barulah kita tahu pengisian ibadah puasa dengan jelas. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, ibadah puasa sebenarnya mengajar kita untuk mengawal nafsu diri dari pelbagai perkara di dalam kehidupan manusia.
Namun, ada juga di kalangan kita yang tanpa segan silu membeli makanan di kedai mamak dari pintu belakang.
Ada juga yang selamba merokok dalam tandas di pejabat atau tandas-tandas awam, yang mana sempat.
Ada juga yang tidak serik-serik "kantoi" ditahan penguatkuasa dan Jabatan Agama Islam kerana ingkar ketetapan arahan dari Allah SWT itu.
Namun KedahNews.com yakin, majoriti umat Islam di Malaysia patuh menjalani ibadah puasa dengan baik, berjaya menahan diri dan mengawal nafsu dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa masing-masing. Alhamdulillah.
Persoalannya, cukupkah kita hanya mengawal nafsu hanya di bulan Ramadhan sahaja dan tidak di bulan-bulan lain?
KedahNews.com tidak menjangkakan jawapan dari kalangan pembaca. Cukuplah jawapan tersebut dijawab di dalam hati kita yang paling dalam...
Apapun, kami warga kerja KedahNews.com mengucapkan selamat menyambut ibadah puasa di bulan Ramadhan kali ini dan hargailah kesempatan yang diberikan Allah SWT ini sebaik-baiknya.
Lagipun, tiada siapa yang mampu menjamin kita akan berjumpa lagi Ramadhan yang akan datang atau tidak, bukan? Hargailah Ramadhan ini. Selamat beribadah semua! - Editor KedahNews.com