Serbu Majlis Kahwin Hindu: Tun M Gesa JAIS Rujuk Cara Al-Quran, Bukan "Orang"...

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk kembali kepada Al-Quran untuk mencari penyelesaian dalam kes serbuan mereka dalam satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, penyelesaian perkara itu terkandung di dalam Al-Quran dan tidakan seperti itu dilakukan berdasarkan interpretasi seseorang.

"Perkara ini timbul kerana tidak ikut ajaran Islam. Mereka ikut ajaran seseorang. Saya cadangkan mereka kembali kepada Al-Quran. Ini mereka ikut interpretasi mereka sendiri," katanya kepada pemberita ketika program Syarahan Perdana Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Selangor, hari ini.

"Al-Quran nyatakan dengan jelas, kamu dengan agamamu, kami dengan agama kami," katanya.

Beliau berkata, Al-Quran juga menetapkan tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka yang cuba keluar dan meninggalkan agama Islam.

"Ikut Al-Quran apa berlaku kepada mereka yang menukar agama mereka ada tindakannya, tetapi saya tidak mahu cakap.

"Islam zaman ini sudah dipolitikkan dan mereka hendak nampak sangat Islam, sebab itu mereka buat macam itu," katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut elemen fanatik agama oleh sesetengah pihak, bekas Perdana Menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu berkata, elemen berkenaan wujud apabila individu itu terlalu taksub dengan sesuatu perkara.

"Bila kita terlalu taksub dengan ajaran orang tertentu, kita jadi fanatik.

"Al-Quran cukup untuk cara hidup, tetapi kita ambil sebahagian ... bila ada individu yang berpengetahuan sedikit, kita akan ikut dia walaupun tindakan itu salah," katanya.

Dr Mahathir ketika syarahannya berkata, individu pemuda Muslim di negara-negara Islam terpengaruh dengan ideologi yang salah sehingga sanggup menjadi pengebom berani mati.

"Kita tidak boleh taksub, kita kena guna akal fikiran," katanya.

Beliau berkata, disebabkan sesetengah pihak seperti itu, menggunakan agama demi kepentingan politk, mengakibatkan banyak pihak khuatir untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan Islam.

"Sebab itu semua takut buat komen, saya pun takut juga," katanya.

Jais sebelum ini menafikan pegawai penguatkuasanya menyerbu dan mengganggu upacara perkahwinan Hindu di sebuah kuil di Petaling Jaya kerana mengesyaki pengantin perempuannya beragama Islam.

Timbalan Ketua Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad, berkata pihaknya datang ke kuil hanya untuk menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan pengantin perempuan untuk mengesahkan taraf agamanya.

Ahmad Zaki ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, tindakan Jais itu mengikut prosedur selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Untuk menggelakkan orang awam membuat kesimpulan sendiri Ahmad Zaki berkata, kes itu masih dalam siasatan dan setakat ini jabatan itu hanya memanggil pengantin perempuan hadir ke pejabat Jais di Shah Alam bagi membantu siasatan.

"Tiada isu hendak tuduh dia murtad. Jais belum buat kesimpulan lagi. Tunggu kenyataan rasmi selepas kita habis siasat," katanya.

Beliau berkata, Jais tidak ada hak mengenakan hukuman terhadap seseorang hanya kerana individu itu mempunyai nama Islam.

"Susahlah kalau contohnya Rafael Nadal (pemain tenis antarabangsa) datang Malaysia dan pergi ke gereja kita kena siasat sebab nama dia Islam. Jadi jangan cepat sangat buat kesimpulan," katanya.

Dilaporkan kira-kira 50 tetamu yang menghadiri upacara perkahwinan di sebuah kuil di Jalan SS 1/25 Petaling Jaya pada Ahad tercengang dengan kehadiran empat penguatkuasa Jais dan 10 anggota polis ke majlis berkenaan.

Semakan terhadap MyKad pengantin perempuan itu menunjukkan beliau merupakan seorang Islam dan Jais membawanya untuk disiasat sebelum dibebaskan.

Jais menyiasat mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988 yang menghalang bukan Islam menarik penganut Islam keluar agama dan memberikan kuasa kepada Jais bertindak tanpa waran.

Pengantin perempuan terbabit bagaimanapun dilaporkan berkata, dia didaftarkan oleh bapanya sebagai Islam di luar pengetahuannya dan membesar dengan anutan Hindu.

"Dia tak sedar bapanya daftarkan dirinya dan tiga beradiknya sebagai Islam. Dia hanya sedar selepas saudaranya menunjukkan sijil kelahirannya," lapor Sinar Harian memetik sumber Jais.

Akhbar itu juga melaporkan pengantin itu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar status agama dua kali pada 2007 dan April lalu tetapi gagal kerana tidak memperoleh tandatangan bapanya.

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu dan mengganggu upacara perkahwinan yang membabitkan seorang pengantin beragama Islam di kuil Hindu di Petaling Jaya semalam.

Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorty berkata, tindakan Jais mencampuri urusan adat budaya agama Hindu itu melanggar Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak kebebasan beragama penganut bukan Islam.

Sumber: TMI