KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) lebih arif dalam
menjalankan tanggungjawabnya ketika menyerbu majlis perkahwinan seorang
wanita Islam mengikut upacara agama Hindu, Ahad lalu, kata Datuk Seri
Jamil Khir Baharom.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu menyifatkan tindakan diambil
kerana Jais bertanggungjawab memainkan peranan sewajarnya mengutamakan
kepentingan agama Islam di Selangor.
“Tentunya di atas urusan dan tanggungjawab yang diserahkan itu untuk
menjaga kepentingan Islam di Selangor dan prosedur, Jais lebih arif
berdasarkan kuasa yang diberikan di mana dalam peruntukan Jadual 9
Perlembagaan Persekutuan Senarai 2, agama Islam adalah di bawah kuasa
majlis agama Islam negeri.
“Kita mengharapkan semua menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak
yang diberi kuasa oleh majlis agama Islam negeri (Jais) untuk memainkan
peranan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas diminta
mengulas mengenai kenyataan.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim pada Rabu yang menyalahkan Jais kerana tidak mematuhi operasi
standard (SOP) apabila menyerbu majlis perkahwinan Zarina Abdullah Majid
yang dijalankan di sebuah kuil di Petaling Jaya.
Menurut Jamil Khir, majlis agama Islam harus memainkan peranan untuk
mempertahankan tanggungjawab agama di bawah kuasa yang diberikan
mengikut undang-undang.
“Sebarang kegagalan dalam hal seperti ini, mungkin majlis agama akan
dilihat sebagai faktor yang gagal dalam melaksanakan tugas mereka,”
katanya.
Pada Rabu, Abdul Khalid menyifatkan serbuan Jais sebagai perkara yang ‘memalukan’ bagi jabatan berkenaan.
“Menurut Jais ia bukan serbuan. Menurut polis ia satu serbuan, bagi
pihak kita ia satu serbuan dan ini memalukan. Majlis perkahwinan
sepatutnya menjadi detik paling indah dan mereka tidak wajar
merosakkanya, ” katanya.
Malah katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati tidak mengikut SOP ditetapkan. - mStar Online