Serbu Pusat Urut: Lelaki Warga Emas Hanya Sempat Berselimut


Teluk Intan, 15 Jun – Keghairahan seorang lelaki warga emas mendapat khidmat layanan daripada wanita Vietnam di sini terbantut apabila pihak berkuasa Jabatan Imigresen menyerbu premis berkenaan baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, lelaki yang terkejut apabila mendapati beberapa pegawai imigresen berada didalam premis berkenaan tergesa-gesa bangun dan menutupi badannya dengan selimut dalam serbuan yang dijalankan.

Ketua Jabatan Imigresen Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, Ops 6P dan Ops Sayang yang dilancarkan kira-kira jam 6.30 petang itu berakhir pada jam 10.30 malam melibatkan 15 anggota penguatkuasa dari Ipoh dan Hilir Perak.

“Seramai Sembilan warga asing membabitkan seorang warga Vietnam, Thailand dan tujuh warga china berusia 33 hingga 46 tahun telah dicekup di pusat refleksologi di Persisiran Taman Melor kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam pada itu, kita menahan dua lelaki tempatan di lokasi serbuan bagi membantu siasatan,” katanya selepas selesai  menjalankan operasi tersebut.

Sementara itu, sebuah pusat mesin judi di Jalan Changkat Jong turut diserbu pihak berkuasa dalam operasi berkenaan pada jam 9.45 malam.

“Seramai 10 lelaki Bangladesh berusia 22 hingga 40 tahun telah ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Kita turut menahan tiga rakyat tempatan berusia 30 hingga 37 tahun dipercayai melindungi warga asing berkenaan,” katanya lagi.

Kesemua warga asing yang telah ditahan akan didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Warga asing itu juga akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan serta Anti Penyeludupan Mirgan 2007 dan kini ditahan di Pusat Tahanan Depot Imigresen Lengkap untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi.

Khairul Anuar berkata, kelima-lima lelaki rakyat tempatan yang ditahan disyaki sebagai majikan warga asing akan direman selama empat hari atas perintah mahkamah untuk membantu sisasatan.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor