KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
mendapati tiada unsur rasuah dikesan berkaitan isu pinjaman tanpa faedah
Bank Rakyat kepada seorang ahli perniagaan.
Kenyataan SPRM hari ini menyebut penelitian awal mendapati ia lebih kepada isu tadbir urus bank.
“Bagaimanapun, SPRM akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya,
termasuk memanggil pihak yang berkaitan, jika menerima maklumat baharu,”
katanya.
Laporan beberapa media baru-baru ini mendakwa Bank Rakyat meluluskan
pinjaman sebanyak RM32 juta tanpa faedah kepada seorang ahli perniagaan.
Satu portal berita pula memetik bekas Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri
Sabbaruddin Chik sebagai mendakwa ahli perniagaan terbabit mendapatkan
campur tangan seorang ahli politik bagi menyelesaikan pinjaman itu.
SPRM bagaimanapun menegaskan bahawa bukan semua aduan atau dakwaan
yang dilaporkan media, atau dibangkitkan mana-mana pihak, adalah kes
rasuah.
“Akta SPRM 2009 hanya menyediakan peruntukan untuk menyiasat kes
berunsur rasuah.
“Sehubungan itu, SPRM berharap kes seperti ini turut
disiasat agensi lain yang berkaitan di bawah undang-undang relevan agar
tindakan boleh diambil terhadap pihak tertentu kerana kegagalan mematuhi
mekanisme sedia ada,” katanya. – BERNAMA