Jeli – Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk membina pagar
keselamatan di sepanjang Sungai Golok di Kelantan sebagai satu daripada
kaedah membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pagar
sepanjang 126 kilometer itu perlu dibina segera walaupun ketika ini kos
dan tarikh pembinaannya masih dalam perbincangan.
Beliau berkata perbincangan telah dibuat antara KDN, Unit Pencegah
Penyeludupan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tujuan itu
dengan spesifikasi pembinaannya akan ditentukan JPS.
“Apa pun ia tertakluk kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana
Menteri dan Jabatan Kewangan untuk menentukan bila pelaksanaannya,”
katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks
Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga di sini,
hari ini.
Setakat ini kos belum ditentukan lagi dan beliau berharap kerjasama
pintar antara swasta dan kerajaan dapat merealisasikan pembinaannya
secepat mungkin.
Ahmad Zaid berkata terdapat beberapa syarikat swasta telah memberi
cadangan untuk membantu membina pagar berkenaan yang akan dilengkapi
sistem radar bagi menangani masalah pembolosan terutama kawasan yang
dikenali sebagai laluan tikus.
Katanya selain itu kementeriannya juga akan menyelesaikan masalah
koordinasi antara agensi penguatkuasaan dan Angkatan Tentera Malaysia
yang kini mengambil alih tanggungjawab utama penjagaan sempadan itu.
“Kita akan selesaikan masalah koordinasi kerana agensi itu juga
mempunyai peranan dan bidang kuasa tertentu dalam memastikan sempadan
kita terkawal tanpa pembolosan,” katanya.
Pada perkembangan lain, Ahmad Zaid berkata siasatan terhadap kes
seorang anggota tentera yang melepaskan tembakan di Lahad Datu pada 28
Mei lepas telah dijalankan dan individu terbabit akan dikenakan tindakan
undang-undang.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, seorang anggota tentera
dipercayai melepaskan beberapa das tembakan untuk meleraikan kekecohan
yang berlaku di hadapan sebuah kedai dan tembakan itu mengakibatkan Lans
Koperal Muhamad Fiffixezapey Mat Hussin, 28, cedera di dada dan
meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.
Dua orang awam turut cedera iaitu warga Indonesia berumur 31 dan 38 tahun yang bekerja sebagai penjaga kelab malam.
Sumber: BERNAMA