Ipoh – Seorang pelajar perempuan berusia sembilan tahun menempuh
detik cemas apabila dilarikan oleh seorang lelaki berdekatan Sekolah
Rendah Kebangsaan Aminuddin Baki, Slim River sebelum dicabul dalam
sebuah pondok di kawasan jirat di Jalan Slim Lama, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, suspek dikatakan mendekati
mangsa di Stesen Bas Slim River dan berpura-pura bertanya kepada mangsa
sama ada mahu membeli buku, sebelum mengajak kanak-kanak itu menaiki
keretanya.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan berkata,
ketika di dalam kereta, suspek mengugut mangsa supaya tidak melarikan
diri.
Beliau berkata, suspek kemudian membawa mangsa sebelum memberhentikan
keretanya di kawasan jirat berkenaan dan memaksa mangsa pergi ke sebuah
pondok di situ.
“Apabila berada di dalam pondok berkenaan, suspek mengarahkan mangsa
membuka kasut dan seluar dan mencabul kehormatannya. Selepas beberapa
minit suspek beredar dari situ dan ketika itu mangsa melarikan diri.
“Pada kira-kira jam 1.50 tengah hari, seorang wanita yang sedang
memandu sebuah kereta di jalan berkenaan melihat mangsa berlari di tepi
jalan dalam keadaan ketakutan.
“Wanita itu kemudian memberhentikan kenderaannya dan bertanya kepada
mangsa. Selepas mengetahui kejadian sebenar, wanita terbabit membawa
mangsa ke Balai Polis Slim River,” katanya ketika dihubungi di sini.
Othman berkata, bapa mangsa berusia 43 tahun yang turut dimaklumkan
oleh kakak mangsa berusia 12 tahun bergegas ke balai polis dan terkejut
melihat mangsa sudah berada di situ.
Beliau berkata, dua anggota kereta peronda polis (MPV) mengesan
kenderaan suspek kira-kira jam 2.30 petang iaitu PROTON Wira Aeroback
berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WKQ 907 sebelum cuba
menahannya.
“Bagaimanapun suspek enggan memberhentikan kenderaan sebaliknya
memecut laju menghala ke arah Plaza Tol Slim River menghala Ipoh.
“Ketika di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berlaku kejar-mengejar dan
anggota MPV meminta bantuan. Suspek kemudian merempuh palang Plaza Tol
Sungai dan terus menghala ke pekan Sungkai.
“Semasa kejar-mengejar di pekan Sungkai pula, kenderaan suspek telah
melanggar sebuah PROTON Exora milik orang awam sebelum terus memasuki
Taman Desa Idaman Sungkai. Bagaimanapun, anggota MPV berjaya mengesan
dan menghalang laluan suspek, namun suspek bertindak melanggar MPV
berkenaan di bahagian hadapan sisi kiri.
“Dengan bantuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Tanjung
Malim dan Unit Rondaan Bermotosikal Slim River telah berjaya menahan
suspek bersama seorang wanita dan kanak-kanak lelaki dipercayai isteri
dan anaknya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Othman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 363 dan 354 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan mencabul.
Katanya, mangsa sudah dihantar ke Hospital Slim River untuk
pemeriksaan dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan mangsa
diperkosa. - BH Online