Teresa Kok Dan Cadbury Lebih Kurang Sama Saja?

Masih lagi hangat diperkatakan tentang isu Cadbury yang pada awalnya dikatakan mempunyai unsur DNA babi, ditarik balik sementara perakuan halal bagi menunggu hasil siasatan dan terkini telah disahkan halal semula oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Begitulah rentetan isu Cadbury yang menimbulkan kontroversi dan kesedaran yang tinggi mengenai betapa pentingnya status halal bagi sesuatu produk berasaskan makanan dan minuman itu, khususnya bagi umat Islam di negara kita.

Ramai pihak yang menghentam Cadbury, Jakim, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak terkecuali Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom, yang diminta segelintir pihak untuk meletak jawatan.

Namun KedahNews.com secara adil berpandangan bahawa sikap menuding jari atau menyalahkan sesiapa dalam hal ini tidak akan menyelesaikan masalah tersebut selagi puncanya tidak diatasi secara fundemental.

Mungkin rata-rata masyarakat kita tidak sedar bahawa kebanyakkan produk-produk berasaskan makanan dan minuman sebenarnya dihasilkan oleh syarikat-syarikat milik golongan bukan Islam, khususnya kaum Cina yang beragama Buddha atau Kristian.

Namun, menyedari kepentingan hukum Allah dan umat Islam di Malaysia, khususnya berkenaan halal dan haram, Kerajaan Malaysia mengambil inisiatif untuk menetapkan prosedur halal yang dipertanggungjawabkan oleh Jakim. Itu jelas.

Malangnya, tidak semua masyarakat bukan Islam yang prihatin dan memahami sensitiviti makanan atau minuman yang halal bagi umat Islam di negara kita.


KedahNews.com masih ingat lagi pengalaman lampau sebagai wartawan penyiaran yang ditugaskan untuk membuat liputan mengenai "Menu Rakyat" yang diperkenalkan oleh Ahli Parlimen Seputeh dan beberapa pemimpin DAP di sebuah restoran "vegetarian" di Kepong pada tahun 2011.

Teresa dengan rasa bangga memperkenal "Menu Rakyat" di restoran berkenaan dengan harga RM2 sepinggan nasi dengan tiga jenis lauk. Mungkin motifnya mahu "mengalahkan" Menu 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ketika itu.

Menghairankan, Ahli Parlimen DAP itu selamba mengatakan "Menu Rakyat" itu halal dan sangat sesuai dimakan oleh umat Islam meskipun restoran berkenaan dimiliki 100 peratus oleh peniaga Cina dan penyedia masakannya juga bukan beragama Islam.

Lebih pelik lagi, walaupun menyedari restoran "vege" itu tidak memiliki pengiktirafan halal dari Jakim, Teresa tetap mempertahan status "halal" restoran itu dengan menyalahkan Jakim yang mengetatkan prosedur permohonan status halal di negara ini.

KedahNews.com tertanya-tanya, sekiranya seorang pemimpin DAP yang juga wakil rakyat yang disokong umat Islam pada pilihanraya itu memandang remeh dan tidak memahami konsep halal di dalam Islam, apatah lagi pemilik syarikat produk makanan dan minuman yang bukan Islam, bukan?

Cuma Teresa bernasib baik tidak dihentam seperti Cadbury yang teruk "dikerjakan" segelintir umat Islam yang hilang sabar pada syarikat produk tenusu itu. Mungkin kerana Teresa merupakan pemimpin politik "kesayangan" PAS, maka tiada seorang pun yang berani "menyentuhnya"?

KedahNews.com tidak bermaksud menuduh semua syarikat bukan muslim yang mengeluarkan produk makanan dan minuman itu tidak sensitif berkenaan status halal, namun apa yang berlaku di sebalik isu Cadbury benar-benar menghilangkan sebahagian keyakinan rakyat pada produk yang dihasilkan syarikat bukan milik muslim.

Memang ada syarikat yang menitik berat soal status halal walaupun pemiliknya bukan beragama Islam. Namun jika syarikat sebesar Cadbury pun kini diragui, apatah lagi syarikat-syarikat lain, bukan?

KedahNews.com menyerahkan segala autoriti menentukan status halal produk makanan dan minuman kepada pihak yang diberikan kuasa oleh Kerajaan dan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu Jakim. 

KedahNews.com yakin, Jakim mempunyai prosedur yang ketat dan rumit untuk memastikan produk yang diiktiraf halal oleh jabatan itu benar-benar halal dan tidak diragui, termasuk Cadbury. Sebab itulah KedahNews.com baru saja selesai makan coklat Cadbury sebentar tadi. Jakim kata halal! -KedahNews.com