KedahNews.com merakamkan jutaan terima kasih atas respon sepantas kilat dari Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad, yang menafikan khabar angin mengenai statusnya yang dikhabarkan muflis.
Dengan penafian desas-desus tersebut, ia juga bermaksud Pilihanraya Kecil di Kuala Terengganu tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Selain itu, KedahNews.com juga mengucapkan terima kasih kepada Raja Kamarul yang secara tidak langsung mempromosi dan memberikan sedikit publisiti kepada laman portal ini ke peringkat nasional.
Bagaimanapun, KedahNews.com berpandangan bahawa Raja Kamarul tidak wajar untuk menyaman laman web ini ekoran tiada sebarang pertuduhan yang dilakukan oleh pihak kami terhadapnya.
Merujuk pada artikel yang kami siarkan lewat petang semalam, laporan tersebut semuanya adalah berdasarkan desas-desus, khabar angin dan samar-samar, serta masih diragui kesahihan laporan itu.
Artikel berkenaan juga lebih menjuruskan kepada persoalan yang masih menjadi tanda tanya bagi pihak media untuk mencungkil kebenaran di sebalik khabar angin yang bertiup kencang itu, bukan?
Lagipun, pihak KedahNews.com juga turut menyiarkan laporan penafian Raja Kamarul yang menafikan khabar angin tersebut, sekaligus menjelaskan perkara sebenar bagi para pembaca yang tertanya-tanya mengenai persoalan yang tergantung itu.
Sewajarnya, Raja Kamarul juga mungkin patut berterima kasih pada KedahNews.com yang menyiarkan khabar angin tersebut untuk beliau menjawab desas-desus persoalan yang berlegar di kalangan rakyat.
Sekurang-kurangnya ia mampu membantu beliau secara tidak langsung dari membiarkan khabar angin tersebut dari terus merebak mencetus kebimbangan serta fitnah yang mampu mencemar nama baiknya.
Dengan penafian yang jelas dari Raja Kamarul juga, ia mampu mematikan terus khabar angin itu dari terus menghantui rakyat di Parlimen Kuala Terengganu, bukan?
Seperkara lagi, KedahNews.com dan rakan-rakan media lain sewajarnya diberi hak kebebasan media untuk menyiarkan berita, termasuk laporan khabar angin yang sering berlegar dan mampu mencetus fitnah sekiranya dibiarkan.
Sejajarnya dengan kemahuan Majlis Peguam yang mahu Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menarik balik saman beliau terhadap laman Malaysiakini, badan pengamal perundangan itu sewajarnya bertindak dengan suara yang sama berhubung perkara ini.
Majlis Peguam patut mencadangkan agar Raja Kamarul tidak menyaman laman portal ini di atas nama kebebasan media, bukan?
KedahNews.com bukannya bersifat tidak beretika, berat sebelah atau memihak kepada mana-mana pihak, dan kami juga bersedia memohon maaf secara terbuka sekiranya pihak kami benar-benar bersalah atau tersilap lapor.
Memberi keutamaan pada etika kewartawanan dan penyiaran, KedahNews.com sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Raja Kamarul atas penafian tersebut dan kami berbangga kerana beliau telah mematikan khabar angin yang akan menyusahkan rakyat dan SPR itu.
- Ketua Pengarang KedahNews.com -