Kluang, 22 Jun – Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein menyangkal laporan sebuah akhbar di United
Kingdom mengenai juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai suspek
utama di sebalik kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
Hishammuddin berkata perbuatan akhbar terbabit yang melaporkan tanpa
sumber sahih merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan
meningkatkan jualan akhbar.
“Kalau hendak layan akhbar di UK (United Kingdom), hari-hari mereka
ada cerita baharu. Jika ada asas, pihak tertentu di UK kena beri kita
bukti dan petunjuk.
"Kita akan siasat mengenainya dan tidak perlu heboh
di akhbar,” katanya kepada pemberita selepas majlis 1Veteran 1Malaysia:
Jasa Mu Sentiasa Dikenang dan Dihargai, di sini hari ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata Malaysia sentiasa
konsisten dari awal mengenai apa jua petunjuk kejadian itu dan setiap
perkara yang perlu diperjelaskan kepada umum mesti mendapat pengesahan
daripada pakar serta badan tertentu.
Beliau berkata kesahihan sebarang perkembangan kejadian terbabit amat
penting kerana kerajaan tidak mahu keluarga juruterbang mahupun anak
kapal dan keluarga keseluruhan penumpang menerima pelbagai tuduhan yang
boleh menjejaskan mereka.
“Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga sudah menegaskan
bahawa kita menggunakan segala pertimbangan bila kita siasat
juruterbang, anak kapal dan penumpang. Jadi kita jangan layan konspirasi
teori kerana kalau ada perkara yang disembunyikan sudah tentu ada pihak
lain yang akan membantah,” kata Hishammuddin.
Akhbar Sunday Times, UK melaporkan polis Malaysia kini menganggap
suspek utama di sebalik kehilangan pesawat MH370 adalah juruterbang
penerbangan tersebut, Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Akhbar itu melaporkan Zaharie menjadi sasaran kini selepas semua yang lain di atas pesawat tersebut dibersihkan.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menyifatkan desas-desus yang
mengaitkan namanya untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin
sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai perbuatan nakal dan tidak
bertanggungjawab.
Naib Presiden UMNO itu berkata, tindakan seumpama itu sengaja melaga-lagakan pemimpin dan bertujuan melemahkan parti.
“Kita tidak boleh ikut rentak ini kerana kita perlu rapatkan barisan
dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri dan
timbalan perdana menteri,” katanya.
Sebelum ini, laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan
Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan UMNO.
Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin
dilakukan perdana menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin
daripada parti komponen Barisan Nasional iaitu MCA dan Gerakan.
- BERNAMA