Tiga Pelajar Perempuan ‘Budak Pailang’ Mengaku Salah


Kota Samarahan, 23 Jun – Tiga pelajar perempuan yang terbabit dalam pergaduhan dalam rakaman video ‘budak pailang’ mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Samarahan di sini, atas tuduhan jenayah kerana memukul dan membuat ugutan terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Hajah Laila Taib, April lalu.

Ketika pertuduhan dibacakan oleh Hakim Majistret, Zulhairil Sulaiman, ketiga-tiga pelajar yang baru berusia 16 tahun ini mengaku salah atas kesalahan yang mereka lakukan dan hukuman akan ditetapkan pada 11 Julai ini selepas meneliti laporan akhlak pelajar terbabit.

Menurut laporan perbicaraan, salah seorang pelajar telah dikenakan dengan dua pertuduhan iaitu membuat ugutan jenayah serta mendatangkan kecederaan kepada mangsa manakala dua lagi rakannya dikenakan satu pertuduhan mencederakan pelajar itu.

Kesemua tertuduh hadir ke Mahkamah bersama ibu bapa masing-masing dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 seorang dan mereka dikehendaki melaporkan diri dibalai polis pada setiap minggu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nur Nisla Abdul Latif manakala kesemua tertuduh tidak mempunyai peguam.

Video ketiga-tiga pelajar ini membelasah seorang pelajar yang lain bertajuk ‘Pelajar Pailang’ telah dimuatnaik di laman Youtube sebelum ini dan mendatangkan kemarahan pengguna yang menonton dan  kebanyakkan mereka mahu kesemua pelajar yang terbabit di dakwa perbuatan tersebut. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor