Kuala Lumpur, 17 Jun – Penerbit teater
bertajuk ‘Projek Kahwin’, Mohd Amer Shafiq Khalip berkata, adegan menonjolkan
buah dada yang dilakukan oleh pelakon, Zulin Aziz yang memegang watak sebagai
Mak Long dalam pementasan yang berlangsung pada 6 hingga 14 Jun yang lalu adalah
satu elemen hiburan semata-mata.
Menurut Mohd Amer, dia berharap
isu itu tidak diperbesarkan oleh para penonton dan sekiranya penonton mempunyai
pandangan yang berbeza mengenai watak tersebut dia tidak dapat berbuat apa-apa.
“Saya bersikap terbuka dan
menerima segala kritikan yang membina untuk memperbaiki kesilapan pada masa
depan.
"Berkenaan watak Mak Long itu ia memang ada dalam
skrip dan pada saya ia hanya untuk menyuntik elemen komedi sahaja agar 'mood'
penonton tidak terlalu serius," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan teater berkenaan
tidak layak dipentaskan di Istana Budaya kerana mengandungi aksi yang
mencemarkan imej pementasan teater.
Mohd Amer kecewa dengan laporan tersebut dan menegaskan
pementasan Projek Kahwin telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Istana Budaya,
Dato’ Mohamed Juhari Shaarani.
Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, teater Projek
Kahwin mencapai criteria yang melayakkan ia di pentaskan di Istana Budaya.
"Teater tersebut mempunyai beberapa aspek yang
layak untuk dipentaskan di pentas berskala besar. Bagi saya mereka berjaya
menjalankan pementasan dengan baik terutama untuk pertama kalinya”, katanya
ketika dihubungi media.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor