Gombak, 5 Jun – Tun Dr Mahathir
Mohamad menganggap cadangan yang diusulkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan,
Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar penjawat awam khususnya guru kembali
kepada Barisan Nasional sekaligus membenarkan mereka berpolitik adalah satu
tindakan yang bakal merugikan parti itu
sendiri.
Menurut Tun Mahathir, sekiranya
penjawat awam terutamanya guru dibenarkan berpolitik tiada jaminan yang dapat diberikan
oleh warga pendidik itu untuk menyokong BN pada masa hadapan kerana kebanyakan
golongan ini lebih cenderung menyertai pembangkang.
"Mereka (guru) tidak akan sertai BN tetapi mereka
sertai Pas dan kerajaan akan hadapi masalah bila guru menjadi pengikut parti pembangkang.
"Kerajaan kena ingat apabila mereka masuk politik,
mereka tidak semestinya menyokong BN," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan 'Siri Syarahan Perdana Presiden' di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), di sini, semalam.
Sebelum ini, Tengku Adnan dalam kenyataan yang
dikeluarkan pada 3 Jun yang lalu mengesa kerajaan memberi kelonggaran kepada
golongan pendidik untuk aktif berpolitik dan kembali menyertai BN bagi
memperkukuhkan parti pada masa hadapan.
Mengulas lanjut dari kenyataan yang dikeluarkan itu,
Tun M beranggapan sekiranya cadangan itu tidak diperhalusi dengan teliti,
kelonggaran itu dikhuatiri akan mengancam kerajaan BN pada masa hadapan.
"...mereka bukan sahaja tidak akan sertai BN malah lebih buruk lagi akan menentang kerajaan pemerintah," katanya lagi. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor