KUALA LUMPUR – Beberapa pengguna Islam menggesa kerajaan mengatasi
apa yang dilihat sebagai ‘kecelaruan’ dalam penentuan status halal
produk makanan susulan pengumuman dua produk coklat susu Cadbury, yang
sebelum ini dilapor mempunyai Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi, kini
disahkan tiada bahan itu.
Mereka mahukan perkara itu diberi
perhatian bagi mengelak kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam
berhubung produk makanan. Eksekutif swasta, Nurdzuladlina Masehat, 27,
berkata perlu ada keseragaman dalam membuat ujian ke atas produk makanan
bagi mengelak perbezaan keputusan yang hanya mengelirukan pengguna.
“Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu membuat pemantauan mengejut
secara lebih kerap ke atas pengilang atau pengusaha yang telah mendapat
sijil halal bagi memastikan piawaian halal itu sentiasa dipatuhi,”
katanya.
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata analisis makmal Jabatan
Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury – Roast Almond dan
Hazelnut (badam dan kacang hazel) – disahkan tiada DNA babi.
Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan mengesan dua sampel coklat itu mengandungi DNA babi.
Jamil
Khir berkata kedua-dua produk yang dianalisis itu adalah daripada
kelompok yang sama dengan produk yang disahkan mengandungi DNA babi
sebelum ini, tetapi sampel kali ini diambil terus dari kilang pengeluar
produk itu di Shah Alam.
Peniaga, Siti Muzaimah Elias, 39, pula berpendapat kenyataan
terbaharu mengenai coklat itu seolah-olah membayangkan status halal di
negara ini diperkotak-katikkan.
“Sekejap ada, sekejap tiada (DNA
babi). Macam mana tu? Apapun saya beranggapan coklat berkenaan sebagai
makanan syubhah, maka saya sekeluarga tidak akan memakannya lagi di masa
depan,” katanya.
Pemilik pasar raya mini, Zaleha Kasim, 67,
berkata pengumuman kerajaan mengenai coklat itu memberi kelegaan
kepadanya, namun berharap Jakim perlu meyakinkan pengguna bahawa syarikat pengeluar produk itu benar-benar mematuhi standard halal yang ditetapkan.
Sementara
itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan
berkata terpulang kepada pengguna Islam untuk membuat keputusan susulan
pengumuman terbaharu mengenai coklat itu.
“Biarpun telah ada satu
keputusan yang dibuat, terpulang kepada pengguna. Kalau masih ragu-ragu,
tidak perlu makan,” katanya lagi.
Menurutnya perbezaan
keputusan yang dibuat Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan juga
menimbulkan keraguan sedangkan sampel diambil daripada produk keluaran
yang sama.
“(Analisis) kena buat dengan teliti, ambil masa tidak apa asalkan pengguna ada satu keputusan jelas terhadap produk,” ujarnya.
Dalam
kenyataan berasingan, PPIM berkata boikot pengguna ke atas produk
keluaran Cadbury Confectionery Sdn Bhd diteruskan selagi Kementerian
Kesihatan tidak menafikan kenyataannya sebelum ini yang mengesahkan
kewujudan DNA babi dalam dua produk berkenaan.
Di Labuan, Pengarah
Urusan Sky Park Sdn Bhd Datuk Francis Tee berkata jualan coklat
berkenaan dikedai-kedainya sedikit terjejas berikutan pengumuman awal
yang ia mengandungi DNA babi.
“Namun, kami percaya semuanya akan
kembali seperti biasa susulan pengumuman terbaharu hari ini,” katanya
merujuk kepada kenyataan Jamil Khir. – Bernama