Video: Adakah Kenderaan JPJ Dibenarkan Melanggar Lampu Isyarat?


Satu rakaman video yang telah dimuatnaik di dalam laman Youtube menunjukkan sebuah kereta peronda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melanggar lampu isyarat berjaya dirakam oleh seorang pengguna yang berada di tempat kejadian pada 18 Jun baru-baru ini.

Kebiasaanya apabila kenderaan yang melibatkan polis, ambulans atau bomba akan membunyikan siren jika ingin meminta laluan daripada pengguna jalanraya yang lain dan sekiranya kenderaan mereka melanggar isyarat lampu merah, ini merupakan satu perkara biasa yang sering dilihat.

Apa yang menjadi persoalan mengenai rakaman video ini, adakah tindakan seorang pemandu kenderaan JPJ yang telah bertindak melanggar lampu merah tanpa memberi apa-apa isyarat kecemasan merupakan satu kesalahan ataupun JPJ mempunyai keistimewaan membolehkan mereka melanggar undang-undang yang telah  ditetapkan oleh kerajaan kepada pengguna jalanraya yang lain?

Dalam video berdurasi satu minit tiga puluh tujuh saat ini menunjukkan tindakan yang dilakukan oleh kenderaan JPJ itu menyebabkan dua penunggan motosikal yang berada dilokasi rakaman bertindak melanggar isyarat merh seperti yang dilakukan oleh pemandu tersebut.

Adakah pemandu kereta peronda JPJ dan kedua-dua penunggang motosikal ini tidak akan dikenakan saman sekiranya terdapat Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di kawsan tersebut? Ataupun AES hanya dikhaskan untuk merakam gambar kenderaan orang awam sahaja?

Itulah yang menjadi persoalan KedahNews.com kerana setiap kesalahan yang berjaya dirakam oleh AES akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 kepada pengguna tetapi adakah wajar tindakan itu dikenakan sekirannya pemandu penguatkuasa yang menggunakan kereta peronda jabatan awam melanggar undang-undang tanpa memberi apa-apa isyarat kecemasan.

Sekiranya apa yang disuarakan oleh KedahNews.com ini dapat dibaca oleh pegawai atasan JPJ, kami berharap mereka dapat memperjelaskan mengenai persoalan yang timbul dibenak fikiran semua pengguna jalanraya yang lain.

Hanya satu ungkapan KedahNews.com kepada semua penguatkuasa di Malaysia, ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ dan fikir-fikirkanlah bersama. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor