Video: Kisah Bintang #WorldCup Sully Muntari Bantu Fakir Islam Di Brazil


Biasanya, para peminat bola sepak mengenali bintang-bintang pujaan mereka mengenai pendapatan paling tinggi dan mereka yang menghimpun pelbagai jenis kereta sukan selain skandal bersama wanita selain dari kehebatan mereka di atas padang.

Namun, mungkin tidak ramai pula yang tahu siapakah pemain bola sepak dunia yang berhati mulia dan paling pemurah dalam saingan Piala Dunia kali ini.

Mungkin wajar pengiktirafan tersebut layak diberikan pada bintang Ghana, Sulley Muntari yang juga merupakan pemain tengah kelab ternama Itali, AC Milan.

Mengenali Muntari, beliau merupakan seorang muslim yang cukup terkenal dan disanjungi di Ghana apabila dia membina sebuah masjid di kampung halamannya selain kerap membantu saudara seagama yang kesusahan.

Pada kempen Piala Dunia kali ini, Muntari berjaya mendapatkan pelepasan khas daripada jurulatihnya, Kwesi Appiah, untuk ke salah satu kawasan penempatan masyarakat Islam miskin di pinggir Maceio, Brazil, untuk bersedekah kepada golongan fakir di sana.

Menariknya, ketika berjalan-jalan dan bermesra melayani para peminat, beliau turut meluangkan masa bergambar bersama masyarakat Islam di situ.

Lebih menyentuh hati dan menjelang kehadiran Ramadhan Al-Mubarak tidak lama lagi, Muntari turut menghabiskan wangnya dengan bersedekah sebagai usaha membantu saudara seagama yang kesusahan di sekitar kawasan tersebut.

Berikut adalah klip video yang memaparkan kemuliaan hati seorang bintang bola sepak beragama Islam yang benar-benar berhati mulia. - KedahNews.com