Wanita AS Dakwa Dirogol 4 Lelaki


Kathmandu, 24 Jun – Seorang wanita warganegara Amerika Syarikat (AS) berusia 40 tahun telah dirogol oleh sekumpulan empat orang lelaki di sebuah hotel di Bandar Kathmandu, Nepal.

Wanita yang sudah tinggal di Nepal menggunakan visa perniagaan sejak tahun 2013 mendakwa telah diserang oleh empat orang suspek pada 14 Jun di hotel berkenaan.

 Menurut sumber dari Pegawai Kanan Polis di Bandar itu, mangsa pada mulanya bersama empat orang lelaki telah minum minuman beralkohol di satu tempat yang tidak dinyatakan dan kemudiannya keempat lelaki tersebut membawanya ke sebuah hotel ketika dia tidak sedarkan diri sebelum merogol mangsa.

“Dia telah menghabiskan waktu dengan lelaki-lelaki itu dan mereka telah minum alkohol. Mereka kemudian ke sebuah hotel di mana dia tidak sedarkan diri. Apabila dia bangun dari tidur, dia sedar yang dia telah dirogol,” kata Superintendan Kanan, Hemant Bahadur Pal.

Menurut Bahadur Pal, dua daripada keempat-empat suspek yang berjaya ditahan mengaku tidak bersalah dan pihak polis Nepal sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.


Kesemua mereka yang ditahan akan dikenakan penjara tidak lebih dari 10 tahun jika disabitkan kesalahan merogol. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor