NEW DELHI – Seorang wanita Malaysia yang berkunjung ke Jaipur,
Rajasthan atas urusan perniagaan, didakwa dirogol semalam oleh seorang
lelaki yang ditemuinya di sana.
“Kami telah menahan lelaki itu atas dakwaan merogol seorang wanita
Malaysia pada Jumaat. Dia penduduk Bhilwara,” Indo-Asian News Service
memetik Timbalan Pesuruhjaya Polis (Jaipur Timur), Amandeep Singh,
sebagai berkata.
Lelaki itu berusia 30 tahun.
Menurut laporan itu, wanita terbabit dalam aduannya berkata dia
datang ke Jaipur tiga hari sebelum itu atas urusan perniagaan dan
berjumpa lelaki berkenaan.
Kedua-dua mereka makan di sebuah hotel lima bintang pada Khamis malam
dan dari situ lelaki itu memandunya ke sebuah tempat yang sunyi dan
mendakwa dia dirogol di dalam kereta selepas diberi minuman yang
dimasukkan dadah.
Lelaki itu kemudian meninggalkannya di hadapan hotel penginapannya, menurut laporan itu.
Wanita itu berjaya menghubungi sebuah kereta polis di kawasan
berhampiran Jawahar Circle di bandar raya ini dan membuat aduan. Lelaki
terbabit ditahan dalam tempoh tiga jam.
“Kami menerima aduan itu secara bertulis dan sedang menyoal siasat
lelaki terbabit,” laporan itu memetik Amandeep sebagai berkata.
Kecaman dan bantahan terhadap keganasan seksual di India semakin
memuncak sejak insiden rogol beramai-ramai dan bunuh seorang pelajar di
dalam sebuah bas di Delhi pada 2012.
Statistik rasmi menunjukkan kira-kira 25,000 kes rogol dilakukan setiap tahun di India, negara yang dihuni 1.3 bilion penduduk.
Pada awal tahun ini seorang wanita warga Denmark berusia 51 tahun
mendakwa dirogol beramai-ramai di Delhi. Dia dirompak dan dirogol oleh
suspek bersenjatakan pisau.
Dalam tempoh sama, seorang wanita Jerman berusia 18 tahun juga
dilaporkan dirogol oleh seorang lelaki yang berkongsi kompartmen
dengannya di dalam kereta api ketika dalam perjalanan dari Mangalore ke
Chennai di selatan India.
Kejadian rogol berlaku setiap 22 minit di India, bagaimanapun
serangan yang kurang dilapor bermakna kekerapannya mungkin lebih tinggi.
– BERNAMA