Baru-baru ini kecoh berkenaan isu kekasih Zizan, Emma Maembong, yang keliru selepas menerima surat "saman" daripada syarikat
pengurusannya Wire Fame Entertainment (WFE),
Rentetan itu, media cuba mendapatkan komen Zizan mengenai kontroversi yang melanda buah hatinya itu memandangkan pelawak terkenal itu merupakan rakan kongsi dan pemegang saham terbesar dalam syarikat berkenaan.
Zizan dalam kenyataannya sebelum ini tidak faham mengapa WFE perlu menyaman Emma.
Mungkin enggan lagi berdiam diri dan mengelak salah faham yang lebih teruk, Pegarah Urusan WFE,
Marina Juki tampil membidas Emma yang dilihat menjadi punca kontroversi itu.
Menurut Marina, WFE tidak pernah mengeluarkan sebarang surat saman terhadap Emma Maembong dan syarikat itu sebenarnya hanya menghantar notis tamat kontrak kepada kekasih Zizan itu ekoran beberapa tindakannya yang jelas melanggar kontrak yang dipersetujui sebelum ini.
“Notis saman? Saya rasa sebagai seorang artis yang ‘profesional’, Emma harus faham isi kandungan surat yang dihantar oleh syarikat (WFE) sebelum mengeluarkan apa-apa statement.
“Rasanya kami hantar surat penamatan kontrak bukan notis saman…Dalam surat tersebut pula tiada langsung sentuh isu nak saman kerana dia langgar kontrak. Memang tak ada!
“Kami cuma sebut terpaksa ‘terminate’ dia kerana dia langgar kontrak…Itu sahaja,” kata Marina Juki ketika dihubungi pada pagi Isnin.
Selain itu, Marina menjelaskan bahawa perjanjian dalam kontrak itu turut diperjelas oleh pihak peguam WFE semasa mengambil pelakon Emma Maembong di bawah pengurusan mereka dan ia akan tamat pada Jun 2014.
“Sebelum menandatangani kontrak, peguam kami dah ‘brief’ Emma ‘face to face’…Rasanya ketika itu dia pun faham apa yang termaktub di dalam kontrak tersebut.
“Saya berdiam tanpa mengeluarkan apa-apa kenyataan, kerana tidak mahu memanjangkan cerita. Emma minta dilepaskan pada Mac lalu, sebelum kontraknya dengan WFE tamat.
“Sejak dari itu dia sudah mula buat ‘keputusan’ sendiri tanpa merujuk terlebih dahulu dengan syarikat. Bukan kami tidak tegur, kami sudah tegur, malah minta dia ‘hold’ sehingga surat rasmi dikeluarkan,” katanya lagi.
Tambah Marina, penglibatan Emma dalam telefilem Bintang Hati, pihaknya memang mempunyai hak untuk menamatkan kontrak pelakon tersebut kerana tindakan itu jelas menunjukkan pelakon wanita itu melanggar syarat kontrak.
“Jika dia hendak cerita tentang kami beri nombor telefon kepada produksi dan itu membayangkan kami bersetuju dia menjalankan penggambaran tersebut, nampaknya dia betul-betul tidak faham apa yang telah kami bincangkan sebelum itu.
"Sebelum kami beri nombor telefon dia kepada pihak produksi, dia sendiri yang memaklumkan kepada produksi terdahulu supaya menukar namanya untuk pembayaran dan turut memberitahu produksi tentang jadualnya yang diuruskan sendiri bukan lagi WFE.
“WFE senyap tanpa memberi sebarang kenyataan dan tidak menyekat tindakan Emma kerana secara peibadinya saya menghormati kekasihnya Zizan yang juga rakan kongsi dalam syarikat ini.
“Walaupun dia dengan terang-terangan melanggar kontrak, kami masih diamkan sahaja walaupun secara lisannya tindakan boleh dikenakan terhadapnya ketika itu,” katanya.
Menurut Marina lagi, WFE mempunyai hak untuk menamatkan kontrak mana-mana artis sekiranya mereka dengan sengaja melanggar perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.
“Selagi kontrak belum habis atau tamat, syarikat masih bertanggungjawab terhadap mereka tetapi kalau artis buat keputusan sendiri dan membelakangi syarikat, secara automatik kontrak dicabul,” ujarnya.
Mengenai kontroversi yang membabitkan penggunaan hashtag #matisamasama dan ungkapan ‘we’re sisters’ sebelum kemelut Emma Maembong - WFE ini berlaku, Marina menjelaskan bahawa syarikatnya hanya menggunakan hashtag "#family" sahaja, bukan #matisamasama.
“Oh ya…Mengenai hashtag #matisamasama tu, rasanya ia tak pernah wujud…Kerana seingat saya hanya hashtag #family yang saya gunakan untuk gambar-gambar artis WFE.
“Kalau iya pun mahukan publisiti, tak perlu lah bangkitkan soal hashtag # ini. Kami tak buang, dia yang mahu dilepaskan…Bila dah dilepaskan mengapa perlu cerita hal remeh-temeh?. Tak perlulah hashtag lagi, dia bukan family dan sudah pun keluar dari WFE.
"Dia sendiri minta dilepaskan kami dah lepaskan dia...Tapi sekarang cara dia beritahu kepada media seolah-olah kami yang menganiaya dia...Sedangkan siapa yang minta dilepaskan,” kata Marina. -KedahNews.com