Wifi Percuma Di 36 Masjid Seluruh Kedah

ALOR SETAR - Sebanyak 36 buah masjid di seluruh negeri ini bakal dilengkapi kemudahan internet tanpa wayar (wifi) percuma menjelang penghujung tahun ini.

Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Norsabrina Mohd Nor berkata, inisiatif ini antara usaha untuk mengimarahkan masjid agar dikunjungi golongan belia selain mahu maklumat berada di hujung jari.

“Projek ini sedang dalam pelaksanaan secara berperingkat. Masjid yang sudah dipasang wifi adalah di Serdang (Dun Bandar Baharu) dan di Masjid Air Merah (Dun Kulim) dalam pelaksanaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti 36 buah masjid di setiap Dun sebagai permulaan.

“Setiap Dun bagi cadangan masjid yang berpotensi dan kumpulan teknikal yang dilantik akan pasang secara percuma. Ini adalah projek bawah peruntukan kerajaan negeri,” katanya.

Norsabrina berkata, pemasangan Wifi ini juga akan disusuli dengan pengisian bersesuaian seperti portal masjid, eKitab, einfo, ekuliah termasuk hebahan program di masjid secara talian.

“Kita mahu imarahkan masjid selain mahu mendekati golongan celik IT khusus golongan muda/belia. Mereka kini mempunyai akses lebih mudah, selaras dengan perkembangan dunia teknologi maklumat dan informasi (ICT),” katanya.

Menurutnya, dengan adanya kemudahan ini kelak, secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai jemaah terutama golongan muda dalam mengimarahkan program-program di masjid.

“Kerajaan Negeri kini giat merancang dan melaksanakan lebih banyak aplikasi menggunakan jalur lebar bagi kemudahan rakyat untuk mengakses maklumat, malah Pusat Transformasi Digital Kedah di bangunan UTC, juga akan dilancar pada September ini,” katanya.

Tambahnya, pusat transformasi itu berperanan sebagai pusat sehenti yang memberikan kemudahan internet kepada orang ramai mengakses pelbagai maklumat.