Yammy Pertikai Hanya Terima Salinan Surat


Teluk Intan, 24 Jun – Ibu kepada calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud iaitu Yammy Samat akhirnya menerima surat tunjuk sebab daripada Umno setelah dia didapati bersalah berkempen untuk parti lawan dalam PRK di Teluk Intan baru-baru ini.

Surat itu telah dihantar sendiri oleh Penolong Setiausaha Kerja Umno Perak, Ishak Darus ke kediamannya setelah dua kali surat yang dihantar melalui pos pada 3 dan 16 Jun dikembalikan oleh pihak Pos Malaysia kerana Yammy sudah berpindah ke tempat lain.

Menurut Yammy, dia menerima surat berkenaan pada jam 11.00 pagi semalam setelah Ishak datang ke rumahnya tetapi surat yang dihantar itu merupakan salinan daripada surat yang asal dan kandungannya juga tidak begitu jelas.


“Saya berterima kasih kepada Umno Perak kerana sudi menghantar surat secara serahan tangan kepada saya selepas lama menunggu.Tetapi kenapa saya hanya terima salinan surat tunjuk sebab daripada Umno? Tak kan saya nak memberi jawapan pada surat salinan? Surat asalnya mana?

“Kandungan surat itu pula terlalu ringkas yang hanya minta saya nyatakan sebab mengapa tindakan disiplin atau pemecatan tidak boleh dikenakan ke atas saya kerana berkempen untuk calon parti lawan. Tapi tak apa, saya akan jawab seperti yang dijanjikan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ishak Darus mengesahkan surat yang dihantar kepada Yammy adalah salinan daripada surat asal yang telah dihantar pada 3 Jun yang lalu dan ibu kepada calon DAP itu diberi masa 14 hari untuk menjawab surat berkenaan dari tarikh ia di terima.

Yammy berkata, dia akan menjawab surat yang dihantar itu dalam masa terdekat dan menegaskan yang semasa PRK yang lepas, dia hanya menemani anaknya di sana dan bukannya berkempen untuk DAP.

“Saya tidak berkempen untuk Dyana. Kehadiran saya hanya sebagai ibu yang menemani anaknya, tidak lebih daripada itu.

 “Saya juga mahu mengelakkan sebarang cubaan manipulasi atau pertikaian terhadap kenyataan saya dalam surat jawapan oleh pihak tertentu nanti,” jelas Yammy yang akan mendedahkan isi kandungan surat kepada umum selepas dihantar ke Umno. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor