Alor Setar - DAP Negeri Kedah hari ini menuduh Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari, sebagai pembohong, biadap dan mencerminkan keangkuhan pemimpin DAP Pusat yang bakal menjahanamkan parti itu pada masa akan datang.
Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, Zairil ternyata berbohong kepada media dan seluruh ahli DAP baru-baru ini apabila mendakwa Jawatankuasa CEC DAP Pusat telah disahkan oleh Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (ROS) sedangkan ia belum diiktiraf pertubuhan tersebut.
"Dia bohong pada media dan ahli DAP Kedah yang kononnya ROS sudah bersetuju dan mengakui pemilihan CEC pada 29 September tahun lalu adalah sah, maka sebab itu dia arah untuk adakan AGM untuk semua cawangan DAP di Kedah pada Mei dan Jun ini.
"Saya mencabar Zairil supaya buktikan dengan surat hitam putih dari ROS jika benar CEC DAP itu tidak bermasalah dan ROS dan telah disahkan oleh ROS.
"Jika tidak,dia adalah pembohong, tidak boleh diharap.." katanya mengecam Zairil, pemimpin yang dilantik DAP Pusat itu.
Katanya, Zairil telah mengedarkan surat memanggil semua ahli DAP Kedah untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dengan menggunakan "cop palsu DAP Kedah" yang dibuat sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Interim tersebut.
Guan Aik turut menunjukkan pada KedahNews.com dua salinan surat arahan AGM dari Zairil yang dianggap tidak sah, menggunakan "cop palsu" dan cuba memperbodoh-bodohkan ahli DAP Kedah dengan surat tersebut.
Sebelum ini Zairil dilaporkan beberapa media berbahasa Cina telah mendakwa bahawa pemilihan Jawatankuasa CEC DAP Pusat pada akhir tahun lalu telah diiktiraf ROS dan menggesa ahli DAP di Kedah untuk mengadakan AGM bagi memilih pucuk pimpinan DAP Kedah yang baru.
Pengerusi DAP itu juga mendakwa bahawa kenyataan Zairil tersebut telah menghina Jawatankuasa DAP Kedah dan bakal menghapuskan keyakinan akar umbi parti yang terhadap kewibawaan parti tersebut.
"Zairil biadap kerana menghina DAP Kedah yang disahkan ROS. Kenyataan Zairil itu bukan ikhlas hendak membantu menyelesaikan kemelut DAP dan mewujudkan perpaduan dalaman, tapi akan melingkupkan DAP Kedah lagi," katanya.
Selain itu, Guan Aik turut menjelaskan bahawa dia telah menghantar surat kepada DAP Pusat pada Mac lalu untuk mengadakan AGM bagi DAP Negeri Kedah, namun pihaknya masih tidak menerima sebarang jawapan dari kepimpinan di peringkat Pusat.
Tegasnya, tindakan Zairil yang mengenepikan DAP Kedah dalam prosedur untuk mengadakan AGM sendiri itu jelas menunjukkan dia tidak menghormati ahli jawatankuasa parti sedia ada, akar umbi dan undang-undang yang ditetapkan ROS.
Justeru, Pengerusi DAP Kedah itu menggesa agar ahli DAP di semua peringkat supaya tidak melayan kerenah Zairil dan DAP Pusat yang cuba campur tangan di dalam pengurusan DAP di peringkat negeri memandangkan Jawatankuasa CEC parti itu belum diiktiraf ROS. -KedahNews.com