Kelibat Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari, berkemungkinan tidak lama apabila kariernya mungkin "di tanam hidup-hidup" oleh kepimpinan DAP Negeri Kedah yang diketuai oleh Pengerusinya, Lee Guan Aik.
Dalam satu sidang media yang diadakan Guan Aik baru-baru ini, DAP Kedah menghentam Zairil habis-habisan dan menyifatkan Ahli Parlimen Bukit Bendera itu sebagai penipu, biadap, perosak parti serta tidak wajar dijadikan pemimpin.
Menurut Guan Aik, Zairil telah berbohong kononnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia(RoS) telah mengiktiraf barisan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, namun hakikatnya ia masih lagi belum mendapat sebarang pengiktirafan dari badan tersebut.
Seterusnya, Zairil yang dilantik DAP Pusat ke jawatan khas itu dicabar DAP Kedah untuk membuktikan dia bercakap benar dalam dakwaan pengiktirafan RoS terhadap CEC DAP.
DAP Kedah turut mendakwa Zairil bersikap biadap dan kurang ajar apabila cuba menggunakan "cop palsu" dan membelakangkan Jawatankuasa DAP Kedah dalam arahannya menggesa ahli-ahli parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM).
Malah sikap negatif melampau yang ditunjukkan Zairil itu disifatkan mampu menjejaskan nama dan integriti DAP membuatkan DAP Kedah enggan tunduk pada Ahli Parlimen Bukit Bendera itu meskipun dia diberi kuasa oleh DAP Pusat dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
Nampaknya percaturan DAP untuk menipu rakyat kononnya parti itu tidak rasis dan menerima baik penyertaan semua kaum adalah satu propaganda semata-mata. Jelas sekali individu seperti Zairil ditolak mentah-mentah oleh akar umbi DAP dan kepimpinan di peringkat negeri.
DAP sebelum ini cuba menafikan partinya bersifat "chauvinis ultra kiasu", namun apa yang berlaku di dalam parti itu jelas menunjukkan sikap majoriti ahlinya yang diserap sikap rasis yang melampau.
Zairil sebetulnya bukanlah seorang Melayu tulen dan dia sebetulnya merupakan anak tiri kepada Allahyarham Tan Sri Khir Johari, seorang bekas Menteri UMNO, yang mengahwini ibu Ahli Parlimen DAP itu.
Namun mungkin kerana sikap rasis yang meluap-luap, Zairil ditolak mentah-mentah DAP Kedah meskipun dia diberi kuasa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP di negeri tersebut.
Bukan Zairil sahaja, bekas calon DAP di Piliharaya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud yang berdarah kacukan Melayu-Cina itu juga turut menjadi mangsa penolakan ahli-ahli DAP apabila mereka dikatakan enggan pulang mengundi baru-baru ini.
DAP yang sebelum ini mendahului dengan majoriti lebih 7,000 undi, tiba-tiba kehilangan semua undi tersebut apabila dilaporkan para pengundi luar dan golongan muda yang menyokong parti itu enggan pulang atau keluar mengundi semata-mata kerana Dyana Sofya bukan bangsa mereka.
Tebal atau tidak pengaruh rasis yang ada di dalam DAP begitu ketara dengan kehilangan 7,000 undi di Teluk Intan dan penolakan Zairil sebagai salah seorang pemimpin parti itu di Kedah.
Jelaslah bahawa DAP gagal menipu rakyat Malaysia dalam propaganda "DAP untuk semua bangsa", sekaligus gagal menafikan sifat parti tersebut yang begitu sinonim dengan sikap "chauvinis ultra kiasu".
Contoh klasikal yang memaparkan golongan yang pernah menjadi "mangsa" sikap "chauvinis" DAP sebelum ini ialah beberapa pemimpin Melayu seperti bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim.
Dan contoh mangsa terbaru "chauvinis ultra kiasu" DAP moden boleh dirujuk pada nasib yang menimpa Zairil di Kedah dan Dyana Sofya di Teluk Intan.