Kuala Lumpur, 9 Jun – Pelakon
cantik Zara Zya menafikan bahawa dirinya bermulut jahat dan berasa kecewa
apabila dia dituduh bermulut celupar dengan menjaja cerita buruk mengenai aktor
Azlee Khairi kepada rakan artis yang lain.
Menurut Zara Zya atau nama
sebenarnya Zainurul Razla Mohd Zainuddin, 29 , mengakui dirinya terkejut
apabila dituduh sebagai perempuan bermulut jahat sedangkan dia tidak pernah
berkelakuan seperti itu dan menganggap tuduhan yang dilemparkan ini adalah
fitnah untuk menjatuhkan dirinya.
“Mula-mula rasa geramlah juga
apabila membaca berita kononnya saya bermulut celupar memburukkan dia (Azlee). Sedangkan
saya tidak pernah berbuat begitu.
“Entah apa tujuan mereka yang
menyebarkan cerita seperti itu tentang saya, saya tidak tahu. Apa yang saya
rasakan ini adalah fitnah,” katanya kepada Media semalam.
Memetik laporan sebuah akhbar
mingguan semalam, Zara dikatakan masih bermusuhan dengan pelakon yang juga
merupakan pasangannya dalam drama “Love You Mr Arrogant”, Azlee Khairi ,
walaupun mereka berdua menafikan laporan tersebut.
Dalam pada itu, Zara yang baru
sahaja memenangi Anugerah Pelalon Baru Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian
menegaskan dirinya masih seperti dulu walaupun segelintir media melaporkan dia sudah
lupa diri apabila sudah dikenali.
“Lapan tahun saya bergelar
pelakon dan tiba-tiba nama saya naik menerusi drama Love You Mr Arrogant membuatkan
saya berasa amat bersyukur kerana akhirnya orang melihat bakat saya.
“Tetapi saya juga perlu tahu
ketika orang gembira dengan kejayaan kita, ada juga yang tidak senang. Saya
akur tentang perkara itu,” ujuarnya lagi dalam keadaan kecewa semalam.
Pihak media cuba mendapatkan
kenyataan daripada Azlee Khairi tetapi pelakon itu masih gagal dihubungi
sehingga kini. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor