Nama Zarena Abdul Majid tiba-tiba menarik perhatian ramai apabila dia dilaporkan telah diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika majlis perkahwinannya dengan seorang lelaki beragama Hindu baru-baru ini.
Zarena mengaku sakit hati apabila dimalukan oleh tindakan JAIS itu apabila ramai tetamu tidak menjamah hidangan di majlis perkahwinannya itu setelah sanggup menghabiskan sekitar RM30,000 untuk mengadakan majlis berkenaan.
Wanita itu juga mendakwa dia berkali-kali cuba menukar status agamanya dari Islam kepada agama Hindu dan sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata untuk membuang perkataan "Islam" pada kad pengenalannya, tetapi gagal.
Dalam hal ini, jelas menunjukkan Zarena benar-benar tidak mahu beragama Islam dan memilih Hindu sebagai agamanya, bukan?
Fakta yang diberikan oleh Zarena yang berusia 32 tahun itu kepada media mengatakan bahawa ibubapanya, S Vasandamma dan S Mahendran beragama Hindu ketika berkahwin pada tahun 1980, kira-kira 34 tahun sebelum ini.
Jadi, disimpulkan bahawa Zarena lahir pada tahun 1982, dua tahun selepas ibubapanya berkahwin.
Zarena kemudian mendakwa bapanya telah memeluk Islam dan meninggalkan ibunya yang masih beragama Hindu pada tahun 1990.
Fakta itu menjelaskan Mahendran telah memeluk Islam sebelum Zarena dilahirkan (berdasarkan nama pada kad pengenalan Zarena) dan meninggalkan dia pada usia kira-kira 8 tahun untuk terus bersama ibunya yang beragama Hindu.
Kebiasaannya, nama dan agama bayi itu ditetapkan ketika ibubapanya mendaftarkan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebaik saja dilahirkan di dalam tempoh 14 hari dan KedahNews.com yakin, Zarena tidak terkecuali.
Justeru itu, secara rasmi setelah didaftarkan, jelaslah Zarena beragama Islam pada asalnya.
Namun mungkin setelah ditinggalkan bapanya seawal usia 8 tahun bersama ibunya yang beragama Hindu, maka dia dibesarkan dalam suasana agama ibunya dan tidak mengikut cara hidup seorang yang beragama Islam.
Status tersebutlah yang cuba dirungkaikan oleh JAIS baru-baru ini di majlis perkahwinan Zarena baru-baru ini, namun malangnya cara yang digunakan oleh pihak berkuasa agama Islam itu agak kurang tepat dan memakan diri.
Terkini, JPN mengesahkan bahawa Zarena tidak pernah memohon untuk menukar status agama pada kad pengenalannya, sekaligus menafikan dakwaan gadis tersebut sebelum ini yang katanya dia sudah berkali-kali cuba berbuat demikian di jabatan tersebut.
Sekiranya menurut hukum Islam, apakah Zarena itu wajar dikategorikan sebagai "murtad"? Dan sekiranya dirujuk pada sistem perundangan negara, apakah status agama sebenar Zarena?
Apapun, biarlah mereka yang pakar dan ahli yang merungkai kekusutan yang berlaku terhadap status Zarena. Kita sebagai umat Islam sewajarnya berdoa agar kemelut yang melibatkan sensitiviti agama ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa melukakan hati sesiapa, kan? -KedahNews.com