"Zizan Tak Menang Bukan Salah Saya.." - Emma Maembong

Aktress cun, Emma Maembong meminta para peminat industri hiburan tanahair supaya tidak menunding jari menyalahkan dirinya ekoran kekasihnya, Zizan, gagal membawa pulang sebarang anugerah pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2013 baru-baru ini.

Tidak mahu dianggap sebagai punca kekalahan Zizan malam itu, Emma enggan memberikan komen panjang kerana baginya menang atau tidak adalah kerana rezeki masing-masing.

"Zizan tak menang bukan salah saya… 

"Beginilah, saya tak boleh nak komen panjang kerana bagi saya setiap orang ada rezeki masing-masing… Kita kena ingat ada masanya berada di atas dan ada masanya di bawah.

“Bila dia pulang dengan tangan kosong, saya faham mungkin ini bukan rezeki dia untuk tahun ini tetapi kita tak tahu lagi masa yang akan datang,” katanya ketika ditemui media di hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu Emma juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan populariti Zizan menurun ekoran pendedahan kisah cinta mereka pada para peminat.

"Saya tak sedih, bagi saya kalau saya tak buat-apa-apapun orang tetap akan mengata lebih-lebih lagi bila jadi artis jadi apa yang saya boleh buat hanyalah tersenyum… Mulut orang kita tak boleh tutup.

"Cuma saya rasa bila Zizan tak menang ‘award’ tu,  janganlah tunding jari kepada orang lain… Kalau bukan rezeki dia maka tiadalah.

"Kalau orang nak salahkan saya pun rasanya saya tak buat apa-apa yang boleh menjatuhkan dia,” katanya lagi.

Perkembangan terkini kekasih Zizan itu menyaksikan dia telah dipilih sebagai duta produk terbaru Power Root, kopi Per'l Xlim, yang diperkenalkan syarikat berkenaan baru-baru ini.