16 Mei 1969: Mengapa Kit Siang Sensitif Sangat?

Memang benar kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa peristiwa rusuhan kaum yang pernah tercetus pada 13 Mei 1969 boleh berulang jika perpecahan dalam kalangan rakyat tidak dapat dibendung manakala Perlembagaan negara terus dipersoalkan.

Sekiranya dikaji dan diteliti, peristiwa berdarah itu sememangnya berlaku kerana pepecahan di kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara kita pada tahun 1969 dahulu. Itu fakta.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang secara tiba-tiba dalam kenyataannya yang membantah pula kenyataan Muhyiddin itu, seolah-olah tindakan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan mengeratkan hubungan antara kaum serta agama itu salah di matanya.

Kit Siang berpendirian bahawa kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung peristiwa 13 Mei itu seolah-olah menunjukkan Melayu dan Islam di negara ini menghadapi masalah dengan penganut agama lain.

Lantas bantahan Kit Siang itu dibidas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, yang menegaskan bahawa pengasas DAP itu memutar belit kenyataan Muhyiddin.

Sekiranya diteliti dari sudut pemahaman bahasa Malaysia dari ucapan Muhyiddin itu, KedahNews.com berpandangan ia tiada sebarang cacat cela. 

Ia tidak lebih dari seruan untuk merapatkan kembali keharmonian di kalangan rakyat Malaysia yang tercalar dengan beberapa insiden sebelum ini.

Namun, mungkin Kit Siang tersalah anggap dan terlalu sensitif apabila peristiwa 16 Mei itu dijadikan contoh oleh Muhyiddin. Padahal, peristiwa berdarah itu merupakan satu titik hitam yang mempunyai nilai yang sangat baik dan menghasilkan keharmonian kaum yang lebih stabil di negara kita secara pascanya.

Kit Siang dalam kenyataannya juga memberi jaminan bahawa pihaknya sedia memberikan kerjasama erat kepada Kerajaan BN untuk memastikan tragedi berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang di negara ini.

Persoalannya, telah terbukti sebelum ini bahawa DAP merupakan pihak yang paling vokal mempertikai dan menyuarakan pelbagai bantahan terhadap keistimewaan hak bangsa Melayu, Bumiputera serta kedudukan agama Islam sebagaimana yang tertera di dalam perlembagaan negara.

Malah lebih jelas lagi, DAP memperjuangkan kesamarataan hak melalui slogan "Malaysian Malaysia" yang menyebabkan hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera dan agama Islam hilang secara tidak langsung.

Apakah tindakan itu boleh disifatkan sebagai "membantu" mengeratkan keharmonian kaum?

Sedangkan, kita dapat melihat bagaimana provokasi yang dilakukan oleh para pemimpin DAP jelas telah menimbulkan rasa tidak puas hati bangsa Melayu, Bumiputera dan umat Islam di seluruh negara, bukan?

Sekiranya DAP ikhlas mahu bekerjasama, sanggupkah mereka berkempen pada seluruh kaum di Malaysia, khususnya golongan muda kaum Cina untuk menghormati kontrak sosial, "jus soli", hak dan keistimewaan bangsa Melayu, Bumiputera serta agama Islam?

Sanggupkah Kit Siang memansuhkan slogan "Malaysian Malaysia" dan akur dengan ketetapan perlembagaan bahawa mana-mana bangsa selain Melayu dan Bumiputera serta mana-mana agama selain Islam patut akur dengan ketetapan yang telah dipersetujui ketika di awal zaman merdeka?

Sewajarnya Kit Siang wajar diberi pemahaman kenyataan Muhyiddin yang disampaikan di dalam Bahasa Rasmi Kebangsaan itu. Takkanlah sudah berpuluh-puluh tahun pun masih tidak dapat memahami bahasa Malaysia dengan baik? Warganegara jenis apa begini? -KedahNews.com