18 Nyaris Maut Bas Ekspress Terbabas Tayar Meletup Di R&R Gurun

GURUN - Sebanyak 18 penumpang nyaris maut apabila bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuantan menuju Perlis terbabas di Km 82.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah ke utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, tayar sebelah kiri bahagian hadapan bas itu tiba-tiba meletup menyebabkan ia hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan hampir memasuki kebun kelapa sawit. 

Pemandu bas berkenaan Lazzuan Ishak, 39, berkata seorang penumpang yang duduk di kerusi hadapan cedera pada muka akibat terhantuk.

Beliau berkata selepas bas hilang kawalan, dia cuba menekan brek dan mengendalikan bas tetapi bas terus merempuh penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

"Saya dapat mengawal bas daripada merempuh beberapa batang pokok ketika bas menuruni kawasan berbukit menghala kebun kelapa sawit," katanya di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin mengesahkan kejadian itu dan berkata keterangan pemandu bas berkenaan sudah diambil.

- BERNAMA