3 Negara Islam Diselar Bertanggungjawab Serangan Di Palestin Selain US

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir bertanggungjawab ke atas kekejaman tentera Israel ke atas umat Islam Palestin.

Pengerusi Badan bukan kerajaan (NGO) Citizens International, S.M. Mohamed Idris berkata, negara terbabit telah mendorong kepada pembersihan etnik rakyat Palestin oleh zionis untuk memadam sejarah negara itu.

“Sokongan tentera, ekonomi dan diplomatik oleh AS untuk Israel telah menggalakkan rejim zionis melakukan jenayah antarabangsa terhadap rakyat Palestin. Sebarang percubaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang Israel akan ditentang oleh kuasa veto AS.

“Sokongan Arab Saudi dan UAE ke atas rampasan kuasa oleh diktator Abdul Fattah el-Sisi telah melemahkan Palestin. Sisi memusnahkan beratus-ratus terowong yang digunakan untuk mengangkut makanan, perubatan dan barangan keperluan ke Gaza yang berada di bawah kepungan Israel-Mesir dari tahun 2007.

“Perbuatan Mesir itu mengakibatkan bencana kemanusiaan ke atas penduduk Gaza kerana ramai jatuh sakit dan kekurangan bekalan keperluan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

S.M. Mohamed dalam pada itu menyelar negara-negara liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana sentiasa bersikap penakut untuk mengambil tindakan segera untuk membantu rakyat Palestin disebabkan semakin kekurangan nilai moral dan akhlak dalam diri mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa pertubuhan dan gerakan masyarakat di seluruh dunia mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan AS, Israel, Arab Saudi dan Mesir untuk menyatakan sokongan ke atas Palestin.

Katanya, masyarakat dunia juga diseru mengerakkan kempen memboikot dan mengenakan sekatan ke atas Israel.

Beliau turut mendesak Majlis Keselamatan PBB supaya mengutuk kekejaman tentera Israel ke atas umat Islam Palestin dan mengarahkan supaya serangan dihentikan serta-merta. 

Sumber: Mynewshub.my