8 Pengguna FB Dipenjara 127 Tahun Kerana Menghina Kerajaan


Teheran, 15 Julai – Mahkamah di negara Iran telah menjatuhkan hukuman penjara selama 127 tahun ke atas lapan orang pengguna laman Facebook (FB) kerana menyiarkan beberapa kenyataan anti kerajaan di laman sosial tersebut.

Dalam satu laporan media di negara itu, kelapan-lapan tertuduh yang tidak didedahkan identiti mereka telah didapati bersalah dengan mengeluarkan kenyataan berunsur anti kerajaan yang boleh mengancam keselamatan negara serta dan turut menghina nilai agama serta para pemimpin negara tersebut.

Menurut laporan itu lagi, kesemua tertuduh yang berasal dari Teheran, Yazd, Shiraz dan Kerman telah dijatuhkan hukuman penjara antara 11 hingga 21 tahun.

Walau bagaimanapun, kesemua tertuduh masih boleh mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada mereka.

Negara Iran telah menetapkan setiap akses rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter akan ditapis secara berperingkat oleh pihak berkuasa termasuk beberapa laman web yang dipercayai bercanggah dengan Islam serta menentang pemerintah.

Pada Mei lalu, lapan orang pengguna FB telah dihukum penjara antara tujuh hingga dua puluh tahun apabila dikesan melakukan kesalahan menyebarkan propaganda anti kerajaan yang boleh mengancam keselamatan negara itu. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor