"All Of Us Are Going To Be Syahid Tonight" - Rakyat Palestin

Sungai Petani - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim meluahkan rasa ingin berkongsi pengalaman dan semangat perjuangan untuk menjadi "syahid" apabila berpeluang bersama para pejuang Islam di Palestin nanti.

Azeez berkata, bukanlah beliau berniat untuk mati di Palestin, namun lebih menjurus untuk memberi pertolongan sedaya mampu atas dasar kemanusiaan, khususnya kepada umat Islam yang tertindas dan dinafikan hak di negara sendiri.

"Kebetulan saya dapat panggilan.. dia kata 'brother Azeez, doa for us, all of us are going to be syahid tonight'.. itulah ungkapan yang disebutkan oleh rakan-rakan saya di Gaza.

"Jadi saya rasa semangat syahid ni saya nak kongsi dengan mereka. Saya nak pergi ke situ, bukan niat nak mati, niat nak pergi tolong... tapi apa pun 'kun fa yakuun'," katanya dalam Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Kepimpinan Empat Peringkat Bahagian dan Kakitangan UMNO Bahagian Baling di sini, semalam.

Justeru itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia itu juga memohon agar seluruh umat Islam mendoakan agar pemergian pasukan yang bakal beliau ketuai itu selamat pergi dan kembali ke tanah air nanti.

Azeez menjelaskan bahawa misi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza itu belum dimuktamadkan tarikh bertolak dan ia hanya akan dibincang dengan pihak-pihak berkaitan seperti Wisma Putra, Kerajaan Mesir dan sebagainya esok.

Menurut pelan awal misi tersebut, beliau menyatakan kemungkinan akan menggunakan pintu sempadan di Rafah untuk masuk ke negara yang dizalimi rejim zionis Israel itu.

Sabtu lalu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO itu mengumumkan bahawa Malaysia akan menghantar dalam masa terdekat seramai 50 doktor pakar bagi 'Misi Bantuan Kemanusiaan ke-4 ke Gaza untuk membawa misi bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan udara tentera rejim Israel.

Azeez menjelaskan bahawa keputusan tersebut telah dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. -KedahNews.com