Menerusi akaun Instagram pemenang pencarian program
realiti Gadis Melayu TV9 musim pertama, Khairul Noormaaidah Zali atau lebih
dikenali sebagai Aida, dia ada memuat naik satu entri ucapan tahniah kepada
pasangan pelakon Almy Nadia atas kehamilan pertamanya hasil perkahwinan dengan
aktor Fizz Fairuz. GUA menghubungi Almy sendiri untuk mendapatkan komen lanjut.
“Alhamdulillah. Kehamilan saya masih di peringkat awal.
Sepatutnya berita gembira tersebut saya tak mahu dedahkan dahulu kepada semua
kerana kandungan masih baru.Tapi Aida adalah rakan baik saya, dan saya
berkongsi berita ini dengan dia.
Saya faham, dia sebagai kawan turut rasa gembira dengan
berita ini dan berkongsi kegembiraannya menerusi Instagram. Kalau boleh, saya
enggan hebohkan berita ini, tapi perkara sudah berlaku. Jadi kini saya hanya
berharap agar peminat-peminat di luar sana dapat mendoakan agar saya dan
kandungan saya selamat dan baik-baik sahaja, Insya-Allah,” kata pelakon drama
bersiri ‘Dunia Baru’ ini.
Enggan mendedahkan usia sebenar kandungannya, Almy
menganggap ini sebagai rezeki sempena kedatangan bulan Ramadan. Kongsi Almy,
setakat ini dia tidak mengalami apa-apa alahan seperti mana yang dialami oleh
ibu-ibu hamil yang lain. Namun begitu, pelakon drama bersiri ‘Cinta Buat
Emelda’ ini merasakan badannya sedikit lesu tetapi ianya tidak menghalang Almy
untuk meneruskan ibadah puasa.
“Saya tak alami apa-apa alahan, cuma badan saya rasa tak
larat sahaja. Namun begitu, saya bersyukur kerana saya masih lagi boleh
berpuasa. Walaupun hamil, azam saya tahun ini adalah untuk berpuasa penuh. Saya
berharap agar Allah makbulkan impian saya,” ujar Almy lagi.
Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28,
selamat bergelar isteri kepada Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal
Abidin, 34, pada 26 April 2014. Mereka diijabkabulkan di Masjid Daerah Barat
Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang selepas solat Asar oleh Pendaftar Kanan
Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Negeri Pulau Pinang, Norzli Mat.
Sumber : gua.com.my