AMARAN: Jangan Beli Juadah Di Bazar Ramadhan Tidak Bersih

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli makanan di bazar Ramadan yang didapati tidak bersih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai juga diisaran supaya membeli makanan di bazar Ramadan yang kualitinya diragui.

“Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan kuasa pembeli yang ada pada mereka dengan membeli makanan di premis yang bersih.

“Sekiranya pengguna ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan yang dijual di bazar Ramadan, pengguna boleh memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Noor Hisham berkata, aduan mengenai perkara itu boleh juga dibuat amelalui laman web http://fsq.moh.gov.my/v3 atau laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di alamat www.facebook.com/bkkmhq.

Justeru, beliau memberi peringatan kepada peniaga bazar Ramadan supaya memastikan premis dan makanan yang dijual mereka sentiasa bersih dan selamat.

Tegasnya, peniaga yang tidak mematuhi keperluan Akta Makanan 1983 akan dikenakan tindakan perundangan termasuk penutupan premis dan kompaun.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, Kementerian Kesihatan telah menjalankan aktiviti pemantauan ke atas sumber bahan mentah yang diigunakan peniaga bazar Ramadan dan tempat penyediaan makanan mereka.

Katanya, Kementerian Kesihatan terus menjalankan aktiviti pemantauan di bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negara untuk memastikan peniaga terlibat mematuhi peraturan ditetapkan.

“Antara aspek keselamatan makanan yang ditekankan semasa pemeriksaan adalah memastikan semua pengendali makanan telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan latihan pengendali makanan serta mendapat suntikan pelalian anti tifoid; kebersihan pengendali makanan; amalan pengendalian makanan dan aspek kebersihan gerai.

“Kementerian Kesihatan juga giat menjalankan beberapa aktiviti promosi berkenaan keselamatan dan kebersihan makanan bag mendidik pengguna untuk sentiasa peka mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan semasa membeli dan memilih makanan di bazar Ramadan untuk mengelakkan keracunan makanan,” katanya.