Amaran: Jangan Tertipu NGO Dakwa Urus Permohonan Rumah Felda

KUALA LUMPUR – Felda tidak pernah melantik mana-mana agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) sebagai orang tengah untuk permohonan perumahan bagi generasi baharu Felda.

Felda dalam satu kenyataan media memberitahu, badan tersebut tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk mewakili Felda dalam urusan tersebut.

“Perkara (palsu) ini tersebar, mungkin kerana Felda baru melancarkan projek Sentuhan Kasih di Tenggaroh 3, Johor Baharu, Johor,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, Felda sedang melaksanakan beberapa projek perumahan seperti Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) dan Sentuhan Kasih Felda.

Kata kenyataan itu, borang permohonan hanya boleh didapati di rancangan tersebut dan akan dikeluarkan sesudah projek tersebut siap.

“Setiap permohonan untuk perumahan ini akan melalui saringan dan Jawatankuasa Penapisan yang telah ditetapkan oleh Felda,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan program perumahan tersebut supaya menghubungi pihak Felda untuk mengelakkan kekeliruan.