Alor Setar, 15 Julai
– Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mempersoalkan di manakah
kesalahan yang telah dilakukan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah sehingga tergamak diugut bunuh oleh seorang blogger baru-baru ini.
Tun Mahathir berkata,
dia hanya mengetahui berita mengenai ugutan terhadap Menteri Besar Kedah
selepas membacanya di surat khabar.
“Saya tak dengar kata
ada (ugutan daripada Mukhriz), tapi saya baca dalam surat khabar ada ugutan
terhadap menteri besar, tapi apa salah yang dia buat?
“Saya tak tahu lah
kot dia ada buat salah tapi setakat yang saya tahu dia cuba berkhidmat, mungkin
ada yang tak suka,” katanya mengulas kejadian yang menimpa Mukhriz.
Menurut Tun Mahathir ,
beliau menyifatkan ugutan bunuh yang diterima oleh Mukhriz dan Ketua Setiausaha
Sulit Sultan Kedah, Dato’ Syed Unan Masri Syed Abdullah adalah satu perkara
biasa dalam politik serta berharap ia hanyalah ugutan semata-mata.
“Bagi saya perkara
biasa sahaja... orang Malaysia tak ganas sangat. Tapi saya harap itu sebagai
ugutan sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa lawatannya ke
Kompleks Pekan Rabu, di sini, semalam.
Sebelum ini, seorang
pemilik akaun Facebook (FB), ‘Padi Jantan’ telah mengeluarkan beberapa
kenyataan di laman sosialnya yang mahu menembak kedua-dua pemimpin ini
sekiranya dibekalkan pistol serta peluru.
Susulan daripada
kenyataan itu, Ketua Pemuda UMNO Jerlun, Ahmad Azhar Abdullah telah membuat
satu laporan polis terhadap pemilik FB, Padi Jantn untuk diambil tindakan di
atas kenyataan tersebut.
Suspek berusia 37
tahun ditahan di Shah Alam, Selangor petang semalam, direman selama empat hari
bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan
kerana membuat ugutan jenayah.
Dalam perkembangan
lain, Tun Mahathir yang melawat Kompleks Pekan Rabu berkata, peniaga yang
menjalankan perniagaan di sini sudah semakin bijak dalam memasarkan barangan
jualan mereka.
“Saya seronok tengok
ramai orang berniaga sekarang ini (di Pekan Rabu). Produk-produk mereka pun
sudah naik taraf semakin meningkat tidak seperti dahulu, sekarang telah
dibungkus, ada jenama, ia sudah banyak maju,” katanya yang mahu penambahbaikan
dilakukan ke atas Kompleks tersebut agar pengujung berasa selesa. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor