KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terhadap
sindiket penipuan pembayaran bil elektrik TNB melalui individu yang
kononnya mewakili ejen persendirian.
Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna), Bahagian Pembahagian
Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kamaliah Abdul Kadir berkata TNB tidak
pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen persendirian untuk
menghubungi atau mendekati pengguna secara terus mengenai pembayaran bil
elektrik.
“Kami ingin mengingatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh
dengan sebarang taktik yang digunakan anggota sindiket untuk mendapatkan
bayaran daripada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari
ini.
Kamaliah berkata sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan
pelanggan, TNB menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan urusan
pembayaran dan sentiasa memastikan pengguna mendapat maklumat yang tepat
berkaitan pembayaran bil elektrik bulanan mereka.
Bayaran boleh dijelaskan di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan TNB,
perkhidmatan online serta di institusi kewangan, Jabatan/Agensi Kerajaan
dan syarikat pihak ketiga yang menjalankan operasi kutipan bil dari
lain-lain utiliti dan pembekal perkhidmatan.
“Ingin diingatkan ejen kutipan TNB tidak akan menghubungi atau
mendekati pengguna bagi memaklumkan pengguna bil elektrik yang perlu
dibayar dan seterusnya mengambil bayaran terus daripada pengguna,”
katanya.
Kamaliah berkata, ejen kutipan bil elektrik TNB yang sah hanya
menerima bayaran dalam bentuk tunai (kaunter pembayaran, kiosk layan
diri dan mesin deposit tunai), debit terus kad kredit (online, autopay,
phone banking) dan iDebit terus akaun simpanan & akaun semasa
(online, autopay, direct debit, phone banking, mesin ATM).
Beliau menambah ejen kutipan juga tidak menerima sebarang pembayaran melalui Cek/Draf Bank.
“Pengguna akan dihubungi ejen kutipan hutang TNB sekiranya mereka
mempunyai tunggakan bil elektrik yang telah tamat tempoh kredit. Namun,
pengguna tidak akan diminta membuat bayaran terus kepada ejen
berkenaan,” katanya.
Orang ramai boleh melayari laman web http://www.tnb.com.my untuk mengetahui senarai saluran pembayaran bil elektrik TNB.
- BERNAMA