Vokalis Wings, Ahmad Azhar Othman, 46, mengaku tidak
bersalah atas tuduhan memukul isterinya, Rozana Misbun dan minta dibicarakan.
Pengakuan penyanyi yang dikenali dengan nama Awie itu dibuat dihadapan
Majistret Ayuni Izzati Sulaiman di Mahkamah Seksyen / Majistret Ampang.
Pada 2 Jun 2014, kira-kira jam 1.30 petang, pelakon filem
'Sembilu' itu didakwa dengan sengaja mengasari Rozana sehingga menyebabkan
kecederaan parah dalam satu kejadian di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu
Klang.
Pelakon filem 'Cuci' itu sebelum ini disiasat mengikut
Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh
tahun dan denda.
Sebelum ini, media mendedahkan berita mengenai seorang
penyanyi kumpulan rock yang didakwa memukul isteri sendiri dalam satu kejadian
di sebuah bank di Ampang, Selangor awal Jun lalu dan berdasarkan laporan itu,
ramai pihak yang menyimpulkan individu yang dimaksudkan adalah Awie.
Namun begitu, Awie yang ditemubual GUA selepas berita itu
tersebar enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut dan Awie tidak mahu
mengiyakan dan menidakkan dakwaan tersebut.
Baru-baru ini pula terdapat beberapa keping gambar wanita
yang wajahnya cedera, dipercayai akibat dipukul. Gambar tersebut didakwa
merupakan gambar Rozana.
Sementara itu, mahkamah telah memerintahkan Awie membayar
wang ikat jamin sebanyak RM9000 dengan dua orang penjamin dan kes Awie akan
disebut semula pada 11 Ogos 2014.
Awie mempunyai lima orang cahaya mata iaitu Puteri Aleeya
Antasha, 14 dan Puteri Aleefa Antasha, 12, menerusi perkahwinan pertama Awie
bersama penyanyi Arni Nazira, manakala tiga lagi anak, Putra Ahmad Merah, 7,
Putra Ahmad Rezkki, 6 dan Puteri Qasseh Antasha, 4, adalah menerusi perkahwinan
kedua Awie bersama Rozana.
Sumber : gua.com.my