Azeez Tawar Daging Lembu Serendah RM15 Sekilogram Pada Rakyat Baling

Sungai Petani - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim semalam mengumumkan bahawa UMNO Bahagian Baling akan memberi subsidi daging lembu kepada rakyat kurang berkemampuan di parlimen tersebut menjelang Aidilfitri nanti.

Kata beliau, sekiranya harga pasaran bagi daging lembu tempatan kini berharga RM27 sekilogram, rakyat miskin di daerah itu hanya perlu membayar serendah RM15 sekilogram sahaja.

"Kita akan jualn daging lembu, kalau di kedai harga RM27 ringgit sekilo, tapi kepada orag miskin kita bagi vaucer, kita buat satu kilo RM15 sahaja. Yang RM12 itu UMNO Bahagian akan beri subsidi pada mereka," katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Kepimpinan Empat Peringkat Bahagian dan Kakitangan UMNO Bahagian Baling di sini, semalam.

Katanya, bantuan untuk kebajikan rakyat miskin di Baling itu belum pernah lagi dilakukan oleh mana-mana pihak sebelum ini dan UMNO Bahagian itu akan menjadi perintis pada program berkenaan.

Selain itu, Azeez juga akan menyalurkan bantuan barang-barang keperluan harian seperti beras, gula, kopi, tepung dan sebagainya jika program subsidi harga daging lembu itu berjaya diperkenal serta dilaksana di parlimen yang diwakilinya.

"In sha Allah, jika program subsidi daging ini berjaya kita akan buat satu lagi program subsidi gula, kopi, tepung, beras.

"Satu bulan kita buka 5 hari kedai UMNO untuk kita bagi subsidi. Kalau gula harganya RM2.60 sekilo, kita bantu bagi RM2 sekilo sahaja. Inilah bantuan yang kita tengah plan, in sha Allah", katanya dengan niat membantu rakyat di Baling.

Menurut Azeez, program subsidi daging sempena Aidilfitri itu akan dijalankan pada 26 Julai ini tanpa mengira fahaman politik.

"Itulah sumbangan kita bersempena Hari Raya.. tak kira orang UMNO, orang PAS, orang PKR, asalkan mereka orang Islam, Melayu, rakyat Baling, kita tetap membantu tanpa kira kaum, agama, latar belakang hatta fahaman politik," tegasnya di depan ahli-ahli jawatankuasa dan kakitangan UMNO Bahagian Baling.

Azeez turut menyampaikan sumbangan berupa kain pasang kepada seluruh ahli jawatankuasa dan kakitangan UMNO Bahagian yang hadir. -KedahNews.com