Azwan Ali Hina Kami - Peniaga Bazar Stadium Darul Aman


Alor Setar, 8 Julai – Para peniaga di bazar ramadhan berasa terhina dengan kenyataan yang dilemparkan oleh selebriti Azwan Ali yang menyifatkan makanan yang dijual oleh mereka seperti sampah.

Sebelum ini, Azwan dalam laman sosialnya lantas mengritik serta menghina para peniaga di bazar ramadhan sekitar Kuala Lumpur kerana menjual makanan  basi kepadanya sekaligus mengiktiraf makanan yang dijual di sekitar bazar seperti sampah.

Salah seorang peniaga di Bazar Darul Aman, Wan Amirul Azizi, 34 ,berkata tindakan pengacara itu memuatnaik status menghina para peniaga bazar satu tindakan yang tidak seharusnya dilakukan oleh artis tersebut kerana tidak semua peniaga bazar seperti itu.

Menurut Wan Amirul, tidak semua peniaga mementing keuntungan semata-mata kerana keselamatan pembeli adalah tanggungjawab mereka dan kenyataan artis itu seolah-olah satu penghinaan kepada mereka.

“Kenyataan Azwan Ali terhadap peniaga di bazaar adalah satu penghinaan bagi kami.

“Tidak semua orang mampu berbuka puasa di hotel-hotel mewah sepertinya, kami berniaga dengan harga yang sederhana dan ada dikalangan peniaga yang berniaga di bazaar adalah bertujuan memeriahkan sambutan ramadhan disamping mencari pendapat harian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Amirul juga menegaskan tidak semua peniaga meletakkan harga yang tinggi pada jualan mereka tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa dan menganggap harga yang ditetapkan oleh para peniaga khususnya di Bazar Darul Aman ini sangat berbaloi.


Sementara itu, Wan Amirul yang merupakan seorang peniaga nasi ayam berharap kunjungan KedahNews.com mampu menarik minat pembeli untuk datang ke gerainya nanti. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor